GUAN ENG: SYED SADDIQ PATUT TERUS LAPOR SPRM

GEORGETOWN- Ketua Pemuda Bersatu, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dinasihatkan agar membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung wang berjumlah RM5 juta yang ditawarkan kepadanya.

Ketua Menteri, Lim Guan Eng berkata, mengikut undang-undang, Syed Saddiq sepatutnya membuat laporan SPRM berserta bukti tentang tawaran itu bagi meninggalkan parti Bersatu dan menyambung pengajiannya di Universiti Oxford.

Guan Eng berkata, beliau tidak terkejut dengan tawaran yang dibuat ke atas Syed Saddiq untuk tujuan tersebut.

“Seperti yang saya cakap, dia (Syed Saddiq) perlu buat laporan tentang perkara ini kepada SPRM. Ia bagi membolehkan SPRM menyiasat tentang dakwaan dia.

“Saya juga hairan mengapa media tidak menyiarkan nama orang itu (yang membuat tawaran). Saya juga antara yang berminat nak tahu siapa orang tersebut,” katanya kepada media tadi.

Ditanya sama ada perkara itu akan dibawa ke Mesyuarat Presiden Pakatan Harapan untuk dibincangkan, Guan Eng yang juga Timbalan Pengerusi Pakatan Harapan berkata, beliau akan menyerahkan perkara itu kepada Pengerusi Bersatu, Tun Dr Mahathir Mohamed.

Semalam, dalam sidang medianya, Syed Saddiq mengakui ditawarkan wang bernilai RM5 juta daripada ‘penasihat kanan perdana menteri’ untuk meninggalkan parti dan menyambung pelajarannya ke luar negara.

Syed Saddiq berkata, umpan RM5 juta yang dibuat oleh ‘rangkaian sistematik dedak’ yang dirancang penasihat kanan itu termasuk geran untuk mendirikan sekolah debat di seluruh Malaysia.

– Sinar Harian

.