GUAN ENG, RAMASAMY MENANG SAMAN FITNAH

KETUA Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng dan timbalannya P. Ramasamy menang saman fitnah terhadap seorang anggota NGO yang menuduh mereka mengirim samseng untuk menggangu sebuah mesyuarat empat tahun lalu.

Hakim Mahkamah Tinggi Pulau Pinang Lim Chong Fong mengarahkan bekas penasihat kebangsaan Hindu Rights Action Force (Hindraf) N. Ganeson membayar ganti rugi kepada Guan Eng dan Ramasamy sebanyak RM50,000 setiap seorang dan RM25,000 lagi untuk kos bicara, kata peguam plaintif Simon Murali.

Murali berkata, hakim mendapati Ganeson gagal membuktikan tuduhannya terhadap Guan Eng dan Ramasamy, langsung membatalkan kenyataan pendakwa bahawa kenyataannya itu dibuat demi kepentingan masyarakat.

Chong Fong turut menegaskan, walaupun Ganeson telah membuat laporan polis berhubung insiden samseng itu, tujuan kenyataannya itu dilihat sebagai memfitnah dua pemimpin tersebut.

“Hakim mendapati ada unsur tidak baik dalam kenyataannya itu, yang berniat untuk memfitnah mereka berdua, bukannya atas alasan kepentingan masyarakat.

“Laporan polis Ganeson diperakui. Tetapi, daripada menunggu polis menyiasat insiden itu, beliau telah membuat sidang media dan menuduh pihak plaintif,” kata Murali kepada pemberita di luar kamar mahkamah.

Pada 4 Disember 2013, dalam sidang media yang dikendali oleh “Concerned Citizens of the Indian Community” berkaitan isu krematorium (tempat bakar mayat) di Lorong Batu Lanchang, Ganeson mendakwa dua pemimpin kerajaan negeri telah mengirim samseng untuk menggangu mesyuarat itu.

Pada hari sama, kenyataannya itu dilapor oleh NST Online bertajuk “Indian-interest group claims thugs interrupted meeting.”

Murali turut berkata, mahkamah telah membenarkan saman fitnah Guan Eng dan Ramasamy, walaupun kedua-duanya memegang jawatan dalam kerajaan.

Menurutnya, undang-undang itu turut berkuatkuasa kepada pegawai awam termasuk perdana menteri dan ketua menteri.

“Hakim berkata ketua menteri dan timbalan ketua menteri boleh dikritik, tetapi bukan sehingga ke tahap memburuk-burukkan.

“Pihak pembela berhujah, sebagai pemegang jawatan dalam kerajaan, ketua menteri dan timbalan ketua menteri tidak boleh menyaman, kerana ia menghalang kebebasan bersuara.

“tetapi mahkamah mendapati isu ini tidak dibangkitkan kerana undang-undang membenarkan sesiapa yang memegang jawatan dalan kerajaan untuk saman,” kata Murali.

Peguam Kok Yuen Lim turut ada bersama plaintif sementara ganeson diwakili oleh penasihat, S. Tilaga dan Yokinee Selvam.

Guan Eng dan Ramasamy turut menyaman New Straits Times Press (NSTP) dan bekas wartawannya berhubung rencana itu yang memenangkan mereka pada September tahun lalu selepas Mahkamah Rayuan memihak kepada mereka.

NSTP membayar dua pemimpin DAP itu sejumlah RM450,000 untuk kos dan ganti rugi.

– https://www.themalaysianinsight.com

.