GUAN ENG MAHU RAMPAS SEMULA EMPAT KERUSI YANG HILANG

DAP tekad merampas semula satu kerusi parlimen dan tiga Dun setelah empat wakil rakyat terbabit meninggalkan parti baru-baru ini.

Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng berkata, partinya akan menyusun strategi dan menubuhkan satu jawatankuasa kecil khas bagi membantu merampas kerusi-kerusi itu, iaitu Parlimen Kota Melaka, Dun Duyong, Bachang dan Kesidang.

“Walaupun mereka telah keluar parti, tetapi pemimpin-pemimpin pusat tetap memberi semangat dan membantu merampas semula kerusi-kerusi yang ditinggalkan mereka,” kata Guan Eng seperti yang dilaporkan dalam Sin Chew Jit Poh.
Sim Tong Him (Ahli Parlimen Kota Melaka), Goh Leong San (Dun Duyong), Lim Jack Wong (Bachang) dan Chin Choong Seong (Kesidang) bertindak keluar parti Ahad lalu kerana hilang kepercayaan terhadap kepimpinan DAP.

Menurut Guan Eng, beliau sedia menerima tanggungjawab atas tindakan yang diambil oleh keempat-empat wakil rakyat itu.

“Saya mengakui saya telah ditipu oleh Tong Him. Saya sedia mohon maaf kepada semua ahli DAP dan pengundi Melaka. Saya sendiri masih meragui tujuan sebenar mereka keluar parti. Mereka kata telah hilang keyakinan terhadap DAP, namun tidak pernah memberitahu perasaan tidak puas hati terhadap pemimpin-pemimpin DAP yang lain,” kata Guan Eng lagi.

– SH

.