GUAN ENG MAHU PENEMUAN RCI DIBAHASKAN DI PARLIMEN

AHLI Parlimen Bagan Lim Guan Eng menggesa agar penemuan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) terhadap skandal forex Bank Negara Malaysia (BNM) dibahaskan di Dewan Rakyat hari ini.

Setiausaha Agung DAP itu berkata, penemuan RCI forex itu amat serius kerana ia mengaitkan bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad dan bekas menteri kewangan Anwar Ibrahim.

“Saya nak dapatkan kepastian kerana kita tidak ada masa bincangkan satu laporan RCI yang begitu serius buat kali pertama syor ambil tindakan ke atas perdana menteri dan menteri kewangan masa itu,” kata Lim di Dewan Rakyat hari ini.

“Adakah akan dibahaskan? Saya nak dapatkan kepastian bolehkah masa diberikan untuk dibincangkan perkara ini? Bolehkah kita bahaskan perkara ini?”

Timbalan Speaker Dewan Rakyat Ismail Mohamed Said berkata terpulang kepada pihak kerajaan sama ada membenarkan atau tidak laporan RCI dibahaskan hari ini.

“Saya percaya menteri akan beri jawapan selepas dapat kepastian.

“Buat masa ini tidak ada dalam peraturan mesyuarat,” katanya.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Azalina Othman Said berkata beliau akan membuat keputusan sama ada laporan RCI bertajuk “Suruhanjaya Siasatan Untuk Menyiasat Kerugian Urus Niaga Mata Wang Asing Oleh Bank Negara Sekitar Tahun 1990-an” akan dibahaskan di Parlimen atau tidak.

Menteri yang bertanggungjawab dalam hal ehwal Parlimen itu berkata, perkara itu akan diputuskan beliau selepas menerima surat pemberitahuan daripada Lim.

“Apa yang dibawa Bagan agak baru. Surat pun kita tidak terima. Beri saya sedikit masa,” katanya.

Lim bersetuju untuk memberikan surat secara bertulis kepada Dewan Rakyat agar laporan RCI dapat dibahaskan.

Dr Mahathir kini merupakan pengerusi Pakatan Harapan (PH) yang terdiri daripada Bersatu, PKR, DAP dan Amanah.

Anwar merupakan ketua umum PH dan PKR. Kedua-dua bekas pemimpin negara itu kini bergabung tenaga melawan Perdana Menteri Najib Razak dan Barisan Nasional (BN).

Hari ini merupakan hari terakhir sidang Dewan Rakyat bagi sesi 2017.

Laporan berkenaan sudah dipersembahkan kepada Yang Di Pertuan Agong, Sultan Muhammad V oleh Pesuruhjaya RCI terdiri daripada Mohd Sidek Hassan Md Said, Tajuddin Atan, Saw Choo Soon dan P. Kanagarayar pada 13 Oktober lalu.

RCI ditubuhkan untuk menentukan kebenaran dakwaan mengenai kerugian tukaran mata wang asing yang ditanggung Bank Negara dan implikasinya terhadap ekonomi negara.

RCI akan memutuskan sama ada terdapat percubaan untuk menyembunyikan fakta dan maklumat mengenai kerugian, termasuk pengeluaran kenyataan oleh pegawai tinggi yang dikatakan mengelirukan kabinet, Parlimen dan orang awam.

Empat puluh dua dokumen juga dikemukakan semasa prosiding tersebut.

Seramai 25 saksi – termasuk Dr Mahathir, bekas timbalan perdana menteri Anwar Ibrahim, dan bekas menteri kewangan Daim Zainuddin – memberi keterangan pada pendengaran selama lapan hari.

Selain itu, bekas penasihat Bank Negara Noor Mohamed Yakcop turut dipanggil dan memberikan keterangan.

– https://www.themalaysianinsight.com

.