GUAN ENG, KIT SIANG KEKAL JAWATAN TERTINGGI DAP

KETUA Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng dan Lim Kit Siang mengekalkan kedudukan masing-masing sebagai Setiausaha Agung dan Ketua Parlimen DAP selepas pemilihan semula Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) di Shah Alam hari ini.

Ahli Parlimen Cheras Tan Kok Wai kekal sebagai Pengerusi DAP sementara Ahli Parlimen Gobind Singh Deo dipilih sebagai Timbalan Pengerusi.

DAP juga melantik lima naib presiden –  Ahli Parlimen Kuching Chong Chieng Jen, Pengerusi DAP Pulau Pinang Chow Kon Yeow, Ahli Parlimen Ipoh Barat M. Kulasegaran , Adun Mentakab Tengku Zulpuri Shah Raja Puji dan Ahli Parlimen Sandakan Wong Tien Fatt.

Ahli Parlimen Seputeh Teresa Kok , Nga Kor Ming dan Ahli Parlimen Batu Gajah V. Sivakumar dilantik sebagai Timbalan Setiausaha Agung parti.

Fong Kui Lun pula dilantik sebagai Bendahari Kebangsaan dan akan dibantu oleh Ngeh Koo Ham.

Anthony Loke pula dipilih menjadi Setiausaha Penganjur Kebangsaan manakala Su Keong dan Khoo Poay Tiong sebagai pembantu.

Jawatan-jawatan lain termasuk Setiausaha Publisiti Kebangsaan yang dipegang Tony Pua dan akan dibantu oleh Yeo Bee Yin dan Zairil Khir Johari.

Liew Chin Tong dan Ong Kian Ming masing-masing dipilih sebagai Pengarah Pendidikan Politik dan Penolong Pengarah Pendidikan Politik, manakala Teo Nie Chin sebagai Setiausaha Antarabangsa parti.

Ahli-ahli lain yang kekal sebagai ahli jawatankuasa ialah Chong Eng, Ronnie Liu, Teng Chang Khim, Jannie Lasimbang, John Brian, Wong Kah Woh dan Hannah Yeoh.

Guan Eng berkata dengan CEC baharu itu, parti kini boleh menumpukan persediaan untuk menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) yang akan datang.

“Kita boleh fokus kepada persediaan parti menjelang pilihan raya umum, sama ada ia akan diadakan pada tahun ini atau tahun depan.

“Kita percaya dengan parti ini, kita akan dapat meneruskan kerja dengan ahli jawatankuasa yang baru dipilih tanpa gangguan daripada RoS (Jabatan Pendaftaran Pertubuhan),” katanya pada sidang akhbar hari ini.

Ini merupakan kali ketiga DAP mengadakan pemilihan CEC sejak 2012 selepas berlaku perselisihan di antara beberapa ahli.

Pemilihan CEC kedua diadakan pada Julai 2013 tetapi RoS menolak keputusan itu tahun ini.

– https://www.themalaysianinsight.com

.