GUAN ENG: Kenapa bila P Pinang anjur pameran UBB jadi salah

Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng hari ini mempersoalkan sikap sesetengah pihak yang cuba mempolitikkan Pameran United Buddy Bears (UBB).

Pameran UBB yang diadakan bertujuan menggalakkan keamanan dan keharmonian telah menimbulkan kontroversi apabila tulisan hadis dikesan pada pinggul salah satu patung beruang berkenaan.

Pameran UBB menampilkan 140 patung beruang setinggi dua meter dan diadakan di Padang Kota Lama di George Town, Pulau Pinang mulai 27 Ogos lalu sehingga 30 Oktober depan.

Lim berkata, kumpulan seperti Pemuda Umno yang mengadakan sidang akhbar semalam bagi mengutuk pameran berkenaan kerana kontroversi tersebut kini beralih ke dalam isu agama.

Kata beliau, pameran tersebut yang sebelum ini diadakan di Kuala Lumpur dari Disember 2011 hingga Februari 2012 menjana RM285,750 untuk kanak-kanak yang memerlukan.

“Saya difahamkan bahawa Sultan Selangor melancarkan pameran yang sama di KL dan tiada masalahpun, mengapa isu tersebut tidak dibangkitkan?” tanya Lim.

“Mengapa Umno tidak membangkitkan hal ini ketika beruang itu dipamerkan di KL?

“Saya rasa penganjur pameran juga tidak faham mengapa tidak ada masalah di KL tetapi ada masalah di Pulau Pinang. Ia seolah-olah apa jua yang Pulau Pinang buat menjadi salah, tetapi yang BN lakukan adalah betul,” keluh beliau.

Mufti Pulau Pinang, Datuk Wan Salim Wan Mohd Noor berkata, petikan tulisan dalam bahasa Arab tercatat di bahagian pinggul patung beruang itu ialah suatu hadis Nabi.

Ia berbunyi: “Tidak beriman seorang yang tidak menyukai untuk saudaranya apa yang disukai untuk dirinya sendiri.”

“Walaupun tujuan pameran ini baik iaitu untuk menggalakkan kedamaian dan persatuan antara sesama nanusia tanpa mengira perbezaan bangsa, agama dan budaya, tetapi dengan wujud tulisan tersebut di tempat yang tidak sesuai berkemungkinan menimbulkan salah faham orang ramai terutama masyarakat Islam.

“Diharap selepas ini pihak penganjur pameran akan merujuk kepada Jabatan Mufti atau pihak Jabatan Agama terlebih dahulu jika didapati wujud apa-apa tulisan atau perkataan yang berkaitan dengan agama Islam untuk memastikan tiada sebarang unsur yang terlarang,” kata mufti itu dalam kenyataan. – M’kini