GUAN ENG DESAK SPRM TAHAN TIMBALAN MENTERI KESIHATAN

Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng menggesa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan Timbalan Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Hilmi Yahya yang didakwanya menyokong wanita yang menjalankan perusahaan pergigian tanpa lesen.

Nur Farahanis Ezatty Adli, 20, dijatuhkan hukuman denda RM70,000 oleh Mahkamah Sesyen Melaka atas kesalahan itu, 29 September lalu.

“SPRM patut menahan Hilmi untuk memastikan sama ada beliau menyalahgunakan kuasa dan cuba ‘membantu’ doktor gigi palsu yang beroperasi secara haram,” katanya dalam kenyataan.

Lim mendakwa, kenyataan Hilmi sebelum ini yang menafikan dirinya menyokong Nur Farahanis telah “didedahkan sebagai penipuan”, memandangkan beliau telah mengaku menyampaikan surat rayuan Nur Farahanis kepada Bahagian Kesihatan Pergigian Kementerian Kesihatan.

Hilmi yang juga anggota parlimen Balik Pulau pula dilaporkan berkata, beliau hanya menjalankan tanggungjawabnya sebagai wakil rakyat selepas surat rayuan itu diberikan kepadanya.

Namun, beliau menegaskan tidak pernah menyokong Nur Farahanis dan perusahaan giginya itu.

– M’kini

.