GUAN ENG: DANA KHAS RM100 JUTA UNTUK BANJIR PULAU PINANG

PULAU Pinang memperuntukkan RM100 juta dana khas pasca bencana bagi menangani akibat kejadian banjir kilat yang melanda negeri itu awal minggu ini.

Ketua menteri Lim Guan Eng mengumumkan peruntukan khas itu di bawah program pasca bencana “Pulau Pinang Bangkit”.

Beliau berkata bencana itu menjejaskan kira-kira 100,000 isi rumah di negeri itu apabila hujan lebat dan ribut dengan angin kuat menyebabkan banjir kilat, tanah runtuh dan pokok tumbang.

Malah, tujuh mangsa terbunuh dalam bencana itu.

Beliau berkata sejak banjir kilat itu melanda, seramai 12,559 orang daripada 3,052 keluarga di semua lima darah di negeri itu terpaksa dipindahkan selepas rumah mereka dinaiki air.

Setakat jam 8 pagi tadi, ,129 mangsa daripada 828 keluarga masih berada di 29 pusat pemindahan di utara dan tengah Seberang Prai dan tanah besar Pulau Pinang. Setakat ini 55 pusat sudah ditutup dengan semakin ramai mangsa sudah mula pulang ke rumah masing-masing.

RM500 setiap isi rumah

Lim berkata cabaran terbesar perlu dihadapi sekarang ialah untuk kerja membersihkan dan membaiki kerosakan serta mengganti apa yang boleh dibaiki.

“Kerajaan negeri akan memberi RM500 kepada setiap isi rumah yang terjejas.

“Kos keseluruhan perlu ditanggung kerajaan negeri ialah RM50 juta kerana terdapat kira-kira 100,000 isi rumah dan perniagaan terbabit. Mereka boleh memohon sekali saja untuk mendapatkan bantuan ini,” katanya.

Beliau berkata jumlah itu tidak termasuk sumbangan daripada orang ramai, dan menambah pentadbiran negeri mengalu-alukan sebarang derma wang tunai yang boleh digunakan bagi projek tebatan banjir dan bantuan wang tunai untuk mangsa.

Sumbangan boleh dibuat kepada perbendaharaan negeri, tetapi kerajaan negeri berpendapat lebih baik sumbangan dibuat menerusi pelbagai NGO yang giat mengumpul dana untuk bantuan mangsa banjir.

Tiada caj air, diskaun 50%

Lim yang juga pengerusi Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBA) berkata PBA tidak akan mengenakan caj kepada pengguna domestik untuk surcaj pemuliharaan air bagi satu pusingan yang meliputi bil air dua bulan.

Surcaj air untuk kegunaan domestik ialah 48 sen setiap 1,000 liter selepas penggunaan 35,000 liter.

Memandangkan pengguna akan menggunakan air yang banyak untuk membersihkan rumah dan premis, Lim berkata PBA juga akan memberi diskaun 50% kepada pengguna domestik dalam bil mereka.

Sementara itu, pengguna komersial akan diberikan diskaun 25% daripada bil.

Diskaun 10% taksiran untuk semua hartanah

Lim berkata Majlis Bandar raya Pulau Pinang dan Majlis Perbandaran Seberang Prai juga akan memberikan diskaun 10% bagi kadar cukai taksiran untuk semua jenis hartanah.

Hari Sukarelawan

Beliau berkata hujung minggu akan datang diumumkan sebagai Hari Sukarelawan, di mana semua warga Pulau Pinang dan rakyat Malaysia dipelawa ke kawasan dilanda banjir untuk membantu mangsa membersihkan rumah.

– https://www.themalaysianinsight.com/

.