GUAN ENG BERI BONUS RM2,000 PENJAWAT AWAM DISIPLIN BAIK

GEORGETOWN – Lebih 8,000 kakitangan kerajaan Pulau Pinang yang mempunyai rekod disiplin yang baik akan menerima bonus berjumlah RM2,000 yang akan dibayar pada penghujung tahun ini.

Ketua Menteri, Lim Guan Eng berkata, bonus akhir tahun itu akan dibayar penuh secara tunai kepada penjawat awam sebelum 2017 berakhir.

“Mereka yang tidak mempunyai rekod disiplin yang baik seperti yang ditentukan Setiausaha Kerajaan Negeri Pulau Pinang (SUK), akan menerima RM1,000 secara tunai. Bonus ini juga berkuatkuasa terhadap kedua-dua pihak berkuasa tempatan (PBT), perbadanan dan agensi kerajaan negeri.

“Bagi sekolah agama dan guru Kelas Al-Quran dan Fardhu Ain (Kafa) serta guru sekolah persendirian Cina pula, mereka akan menerima bonus sebanyak RM300. Manakala guru sekolah tahfiz, sekolah pondok dan tadika Islam (Tadis) akan menerima saguhati RM200 secara tunai,” katanya.

Perkara itu diumumkan Guan Eng ketika membentangkan Belanjawan Pulau Pinang 2018 di Sidang Dun tengahari tadi.

– Sinar Harian

.