GUAN ENG BERI BH, NST 48 JAM

Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng memberi tempoh 48 jam kepada Berita Hariandan New Straits Times untuk menarik balik laporan mereka serta memohon maaf berhubung laporan berkaitan pelantikan mufti.

Laporan itu memetik Ketua Pemuda PAS Pulau Pinang, Afnan Hamimi Taib Azamudden, yang mendakwa kerajaan negeri campur tangan dalam pelantikan Datuk Hassan Ahmad sebagai mufti negeri itu.

Lim menafikan terbabit dalam hal pelantikan itu dan memberitahu, pihak yang mencadangkan nama untuk jawatan berkenaan ialah Datuk Abdul Malik Kassim selaku exco hal ehwal Islam.

Katanya, cadangan nama itu dipersetujui pemimpin PKR yang juga bekas anggota parlimen Permatang Pauh, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Kedua-dua akhbar itu mesti meminta maaf secara terbuka kepada saya dalam tempoh 48 jam kerana laporan itu memfitnah saya,” katanya pada sidang media di George Town, hari ini.

Menurut Lim, ada “terlalu banyak” laporan memfitnah dilakukan ke atasnya dan beliau tidak mempunyai banyak masa untuk mengambil tindakan atas kesemuanya.
Bagaimanapun, kata Lim, isu pelantikan mufti yang dilaporkan kedua-dua akhbar itu dianggapnya sebagai isu besar.

Ditanya mengapa beliau tidak menyaman Afnan Hamimi yang membuat kenyataan tersebut, Lim menjawab: “Mengapa membuang masa?

– M’kini

.