GST IBU KENAIKAN KOS SARA HIDUP, KATA AZMIN

Tidak seperti pembentangan Bajet 2018 oleh Datuk Seri Najib Razak yang banyak menyelitkan serangan terhadap pembangkang, pembentangan Belanjawan 2018 Selangor oleh Menteri Besar Datuk Seri Mohamed Azmin Ali lebih memfokuskan kepada kerajaan negeri.

Bagaimanapun, Azmin ketika membentangkan belanjawan negeri di Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor, Shah Alam, petang tadi, sempat memberikan satu kritikan kepada kerajaan persekutuan, dan beliau memilih GST sebagai sasarannya.

Beliau merujuk kenyataan Najib yang menggelarkan Bajet 2018 sebagai ‘ibu segala bajet’, ketika pembentangannya pada 27 Oktober lalu.

Ketika itu, Najib menyifatkan Bajet 2018 sebagai komprehensif dan yang paling iklusif pernah dirangka kerajaan.

Namun, Azmin menyangkal dakwaan itu dan berkata bajet yang dibentangkan itu gagal menangani peningkatan kos sara hidup yang ditanggung rakyat.

“Kenaikan harga barang amat membebankan rakyat dan pelaksanaan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) merupakan salah satu faktor peningkatan kos kehidupan.

“Maka, pengenalan GST merupakan ibu kepada peningkatan bebanan kos sara hidup rakyat yang gagal ditangani oleh ‘ibu segala bajet’,” katanya yang juga naib presiden Pakatan Harapan (HARAPAN).

HARAPAN sememangnya konsisten sistem cukai itu yang mula dilaksanakan 1 April 2015 menggantikan cukai jualan dan perkhidmatan (SST).

Malah, belanjawan alternatif HARAPAN yang dibentangkan pada 25 Oktober lalu turut memansuhkan cukai itu dan mengembalikan semula SST.

– M’kini

.