‘GHOSTBUSTER’ MCA CUBA DEDAH ‘SETAN’ DAP

Perseteruan politik antara MCA dan DAP sentiasa hangat dan memuncak setiap kali pilihan raya semakin hampir.

Namun kini perbalahan itu memasuki ‘alam ghaib’.

China Press melaporkan bahawa seorang ahli MCA semalam, menggunakan sebuah cermin yang disebut sebagai “bagua”atau ‘trigram’ lapan segi, dalam usaha untuk mendedahkan “setan” di kalangan tiga ADUN DAP itu.

Kejadian itu berlaku semasa taklimat oleh Jawatankuasa Perkuburan Cina dan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Plentong.

Taklimat ini diadakan bagi menyelesaikan isu berkaitan dengan tanah perkuburan Plentong, yang dijadualkan untuk ditukarkan menjadi tapak perkuburan Islam di bawah draf Rancangan Tempatan Daerah Johor Bharu dan Kulai 2025.

ADUN Johor Jaya, Liow Cai Tung, yang dijemput ke taklimat itu, hadir bersama rakan-rakannya, iaitu ADUN Senai, Wong Shu Qi dan ADUN Pekan Nanas, Yeo Tung Siong.

Keadaan menjadi hngat pada mesyuarat yang diadakan di sebuah kedai kopi itu apabila Pengerusi Jawatankuasa Perkuburan Cina Plentong Chan San San, yang juga adalah ahli majlis MCA Johor Bahru, menuduh Liow mengabaikan tugasnya.

Seorang lagi ahli majlis MCA Johor Bahru, Tan Tuan Peng, juga tidak melepaskan peluang untuk membidas wakil rakyat DAP berkenaan.

Rakan-rakan Liow kemudiannya menuntut supaya mikrofon diserahkan kepada wakil rakyat Johor Jaya itu supaya beliau boleh menerangkan isu berkenaan, dan adalah dilaporkan bahawa mereka cuba merampas mikrofon daripada Tan.

Ketika itu, seorang ahli MCA mengeluarkan cermin “bagua” dan cuba mencerminkan ketiga-tiga wakil rakyat DAP berkenaan.

Dilaporkan bahawa tindakan itu menimbulkan kemarahan beberapa penduduk kampung yang hadir, manakala wakil rakyat DAP, yang kecewa kerana tidak diberi peluang untuk bercakap, memutuskan untuk meninggalkan majlis berkenaan.

Ketika dihubungi kemudiannya, Pengerusi MCA Bahagian Pasir Gudang, Tan Cher Puk, yang tiba di penghujung taklimat itu, berkata tumpuan harus diberikan kepada nasib tanah perkuburan berkenaan dan bukan pertelingkahan di antara MCA dan DAP.

Walau bagaimanapun, Tan tetap menuduh DAP cuba mengelirukan orang ramai dengan mendakwa pelan induk tersebut diluluskan oleh kerajaan negeri.

“Malah, terdapat tempoh bantahan selama dua bulan. Jawatankuasa tanah perkuburan telah membantah (berhubung cadangan menukar status tanah perkuburan Cina menjadi tapak perkuburan Islam),” katanya.

Ditanya mengenai kemelut cermin itu, Tan menyifatkannya sebagai tindakan peribadi ahli MCA berkenaan.

Sementara itu, bagi pemimpin DAP, Wong, Majlis Bandaraya Johor Bahru, yang menyelia kawasan Plentong, sepatutnya meluluskan draf rancangan itu sebelum memaparkannya untuk bantahan.

“Ini adalah prosedur di peringkat pihak berkuasa tempatan lain,” kata Wong kepada Malaysiakini.

– M’kini

.