MENJAWAB GESAAN TIMBALAN PRESIDEN PAS SUPAYA TUBUH RCI UNTUK SIASAT ISU 1MDB

1. Gesaan Timbalan Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man agar kerajaan menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja atau RCI untuk menyiasat isu 1MDB amat dangkal sekali. Beliau termasuk beberapa pimpinan Pakatan Harapan lain membangkitkan perkara yang sama kerana tidak memahami fakta dan perkembangan semasa berkaitan isu 1MDB.

2. Jika Tuan Ibrahim benar-benar mengikuti perkembangan isu 1MDB sejak mula, beliau akan mendapati bahawa kerajaan telah berjaya melaksanakan dua perkara utama dalam menangani isu 1MDB, iaitu pertama, menstabilkan kedudukan kewangan syarikat dan menurunkan hutang 1MDB secara drastik melalui Pelan Rasionalisasi 1MDB. Kedua, kerajaan telah membuktikan melalui semakan dan siasatan Jabatan Audit Negara (JAN) dan Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) yang turut dianggotai Ahli Parlimen pembangkang, bahawa dakwaan wang 1MDB lesap, dicuri dan diselewengkan adalah tidak benar sama sekali.

3. Saya yakin Tuan Ibrahim tidak pernah membaca Laporan PAC setebal 106 mukasurat apabila beliau mempersoalkan tentang status rahsia rasmi Laporan Audit berkaitan 1MDB. Jika beliau pernah membacanya beliau akan menyedari walaupun Laporan Audit berkaitan 1MDB ini diklasifikasikan sebagai rahsia rasmi oleh Ketua Audit Negara sendiri pada bulan Januari 2016 (menurut kenyataan Ketua Audit Negara pada 26 Julai 2016), namun dapatan semakan dan kesimpulan oleh JAN ada dimasukkan ke dalam Laporan PAC sebagai rujukan. Sekiranya beliau rajin, beliau juga boleh membaca hansard prosiding PAC melibatkan pelbagai pihak termasuk Juruaudit Deloitte, KPMG, Ketua Pegawai Eksekutif dan Ahli Lembaga Pengarah 1MDB untuk melihat sendiri samada prosiding dilaksanakan secara telus atau tidak.

4. Kesimpulan yang dibuat Tuan Ibrahim bahawa kegagalan penguat kuasa dalam negara membuka ruang kepada pihak luar membuat siasatan adalah sama sekali tidak benar, sebaliknya ruang untuk pihak berkuasa asing ini dibuka oleh individu-individu yang membuat laporan dengan tujuan untuk memancing campur tangan pihak asing ini ke dalam konflik politik di dalam negara. Dan ini disokong sendiri oleh Presiden PAS Tuan Hj Abdul Hadi Awang.

5. Dalam kenyataannya, Tuan Ibrahim mempertikaikan keputusan Peguam Negara, Tan Sri Appandi Ali kerana tidak membuat pendakwaan ke atas 1MDB selepas menerima laporan siasatan Bank Negara Malaysia (BNM) berkaitan soal pemindahan dana ke luar negara. Hakikatnya, Tuan Ibrahim tidak membaca justifikasi yang dinyatakan oleh Peguam Negara pada 13 Oktober 2015 bahawa pendakwaan tidak dapat dibuat kerana BNM sendiri yang memberi kebenaran kepada 1MDB sebanyak tiga kali pada 29 september 2009, 6 September 2010 dan 20 Mei 2011 dan BNM sebagai pegawai pengawal tidak menghalang pemindahan terbabit.

6. Kedangkalan Tuan Ibrahim juga teserlah apabila mempersoalkan kenapa siasatan domestik lebih lambat daripada siasatan di luar negara. Apa yang tidak difahami oleh Tuan Ibrahim adalah siasatan pihak berkuasa tempatan adalah bagi mendapatkan bukti kesalahan melangkaui keraguan munasabah. Sekiranya terdapat bukti prima facie barulah pendakwaan prosiding jenayah dapat dibuat. Sedangkan pihak berkuasa Amerika Syarikat seperti Jabatan Kehakiman (DoJ) AS tidak membuat pendakwaan jenayah menggunakan bukti prima facie, sebaliknya hanya memfailkan tuntutan sivil yang bersandarkan aduan awam dan “syak wasangka” berdasarkan “kemungkinan terdapat bukti yang lebih banyak” bahawa sesetengah harta yang ingin dirampas mempunyai kaitan dengan kegiatan jenayah. Sudah tentu siasatan bagi mencari bukti melangkaui keraguan munasabah akan mengambil masa yang lebih lama berbanding membuat saman sivil yang hanya berdasarkan syak wasangka dan andaian semata-mata.

7. Tuan Ibrahim sepatutnya sedar bahawa di AS, saman sivil pengambil alihan aset atau pelucutan sivil (civil forfeiture) dikecam oleh rakyat AS sendiri sebagai suatu undang-undang yang zalim kerana memberi kuasa kepada agensi penguat kuasa AS merampas wang dan harta orang awam tanpa perlu membuat pendakwaan ke atas pemilik harta dan tanpa perlu membuktikan seseorang itu bersalah “melangkaui keraguan munasabah.”

8. Tidak wajar kerajaan menubuhkan Suruhanjaya Di Raja bagi menyiasat isu 1MDB semata-mata kerana ada pihak berkuasa asing seperti DoJ memfailkan saman sivil. Lebih-lebih lagi jika ia baru di peringkat fail dan belum dibicarakan di mahkamah. Memetik kenyataan DoJ sendiri, “aduan melucut hak sivil hanyalah sekadar dakwaan yang menyebut bahawa terdapat wang atau harta yang terlibat atau merupakan hasil dari perlakuan jenayah. Dakwaan-dakwaan ini belum terbukti benar sehingga mahkamah membuat penghakiman yang memihak kepada Amerika Syarikat.” Tidak ada sebarang sebab untuk menubuhkan RCI semata-mata kerana saman sivil yang belum membuktikan apa-apa lagi.

9. Apatah lagi jika bersandarkan dokumen saman sivil terbaru yang difailkan oleh DoJ ke atas Kumpulan Hotel Viceroy, dana yang didakwa diselewengkan secara perundangannya tidak dipunyai atau dikawal selia oleh 1MDB, tetapi adalah dana yang dimiliki atau dikawal selia oleh pihak-pihak yang mempunyai perkaitan dan kepentingan dengan syarikat Aabar dan IPIC milik Abu Dhabi.

– UTUSAN

.