Gesaan Apandi letak jawatan tak berasas?

KUALA LUMPUR – Gesaan agar Peguam Negara, Tan Sri Mohamad Apandi Ali meletak jawatan gara-gara klip video beliau berjoget sempena sambutan Hari Kemerdekaan ke-31 didakwa tidak berasas.

Peguam Mohamad Apandi, Wan Azmir Wan Majid berkata, alasan itu terlalu remeh, menggambarkan pihak berkenaan tidak ada isu lain yang boleh dibangkitkan.

Menurutnya, memang menjadi amalan mana-mana jawatan berpengaruh untuk dilihat berkecuali pada pandangan umum dan perlu ada sekatan dengan orang awam bagi mengelakkan persepsi berkecuali itu dipersoalkan.

“Bagaimanapun, ia hanya persepsi bahawa sifat berkecuali mungkin luntur,” katanya.

Wan Azmir berkata, Apandi seorang yang berprinsip dan adil.

“Beliau tidak tunduk kepada tekanan mana-mana pihak. Saya percaya beliau sedia maklum dengan persepsi yang mungkin timbul,” katanya.

Wan Azmir berkata, persepsi adalah subjektif dan seseorang perlu diukur dari segi tindakan, bukan persepsi.

“Cara pemikiran yang mengagungkan persepsi adalah kolot dan perlu diubah,” tegasnya.

Wan Azmir berkata, beliau ada  meneliti klip video itu di mana Apandi muncul semasa Hari Kemerdekaan yang menitik beratkan perpaduan.

“Ia bukan bermaksud peguam negara tergolong dengan mana-mana pihak.

“Saya pernah melihat peguam Amerika duduk sepentas dengan (Presiden) Obama, namun ini tidak bermaksud mereka mempunyai kepentingan bersama,” katanya.

Tambahnya, setiap individu mempunyai persepsi dan tafsir masing-masing.

“Alasan mereka untuk mendesak peguam negara meletak jawatan gara-gara beliau berjoget adalah sesuatu yang sangat remeh,” katanya.

Kelmarin, akhbar ini melaporkan bekas Naib Ketua Umno Batu Kawan, Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan menghantar memorandum mendesak Apandi berundur daripada jawatan susulan video itu.

Khairuddin mendakwa tindakan berjoget dan menari itu melanggar etika sebagai Peguam Negara.

– http://www.sinarharian.com.my/