GERAKAN TAKUT SEBUT ZAMIHAN DEPAN ZAHID

PARTI Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) menjunjung titah Majlis Raja-Raja mengutuk individu ekstrem yang menggunakan Islam untuk menghancurkan keharmonian kaum di negara ini tanpa secara spesifik menyebut pelakunya.

Presidennya Mah Siew Keong berkata demikian merujuk kepada kes “kedai dobi untuk muslim sahaja” dan seorang lagi penceramah yang memberi pandangan kontroversi bahawa haram bagi muslim menggunting rambut di kedai bukan Islam.

Namun, Mah tidak pula menyebut nama penceramah kontroversi itu, Zamihan Mat Zin yang diharamkan berceramah di dua negeri oleh Sultan masing-masing ketika Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN) Ahmad Zahid Hamidi berada di atas pentas.

Bagaimanapun sekurang-kurangnya dua perwakilan menyebut nama Zamihan sebagai contoh individu ekstrem ketika membahas ucapan dasar dalam perbahasan hari ini.

“Gerakan turut mengalu-alukan dan menyokong sepenuhnya kenyataan Majlis Raja-Raja Melayu mengutuk tindakan individu dan kumpulan, atas nama Islam, sengaja ingin mengancam keharmonian yang wujud di kalangan masyarakat Malaysia yang berbilang etnik dan kaum.

“Malah ada yang melampaui batas seperti individu yang mewujudkan kedai dobi yang berasingan dan penceramah agama yang mendakwa orang bukan Islam tidak boleh memotong rambut orang Islam,” kata beliau dalam ucapan dasar Persidangan Perwakilan Nasional ke-46 Gerakan hari ini.

Zahid hadir untuk merasmikan persidangan terakhir Gerakan sebelum menghadapi Pilihan Raya ke-14 yang dijangka diadakan awal tahun depan.

Khamis lalu, Zahid menegaskan Zamihan adalah aset penting kerajaan dalam program pemulihan tahanan suspek militan.

Semalam, muncul pula video Zamihan mempertikaikan pentadbiran Perdana Menteri Najib Razak “kurang cerdik” kerana memberi tanah seluas 16 hektar kepada Arab Saudi untuk membina Pusat Keamanan Antarabangsa Raja Salman (KSCIP) di Putrajaya.

Menurut Zamihan, kerjasama Malaysia dengan Arab Saudi untuk melawan pengganas Daesh itu tidak realistik kerana negara itu sendirilah yang melahirkan Daesh.

Bulan lalu, Zamihan telah direman dua hari di bawah Akta Hasutan didakwa mengkritik Sultan Johor dalam isu kedai dobi Muslim itu.

Johor kemudiannya tidak membenarkan kakitangan Jakim yang dipinjam oleh Kementerian Dalam Negeri itu untuk berceramah di negerinya selain memutuskan hubungan dengan institusi agama Islam kerajaan persekutuan itu.

Beberapa kemudian, Selangor pula menarik balik tauliah Zamihan dan keahlian beliau dalam Jawatankuasa Tauliah Negeri Selangor.

Johor kemudiannya turut mengharamkan dua lagi penceramah iaitu Mufti Zimbabwe Ismail Menk dan penceramah bebas tempatan Haslin Baharim yang popular dengan jolokan “Ustaz Bollywood” atas alasan menggugat keharmonian rakyat berbilang kaum di negeri itu.

– https://www.themalaysianinsight.com

.