Gerakan perlu kerja kuat

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mahu ahli-ahli Parti Gerakan meningkatkan usaha dan terus bekerja dengan kuat bagi memastikan Barisan Nasional (BN) terus mendapat sokongan rakyat.
Pengerusi BN itu berkata, mereka mesti terus mendekati rakyat, memberi perkhidmatan terbaik dan memastikan organi­sasi mempunyai gerak kerja yang mantap dan tersusun.

Beliau yakin Gerakan di bawah pimpinan Presidennya, Datuk Seri Mah Siew Keong boleh memperbaiki prestasi parti itu dalam pilihan raya umum yang akan datang.

Selain itu, Perdana Menteri juga mahu tohmahan pihak pembangkang yang sering memutarbelitkan isu dan memburukkan nama baik Malaysia disangkal sebaik-baiknya de­ngan fakta.

‘‘Ahli-ahli Gerakan juga perlu mempunyai courage of your convictions (keberanian dalam menyuarakan pendirian),’’ katanya dalam satu rakaman video kepada ahli-ahli Gerakan yang menghadiri Persidangan Perwakilan Kebangsaan Ke-45 parti itu di Menara PGRM hari ini.

Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor hadir dalam persidangan itu bagi mewakili Perdana Menteri.

Najib mulanya dijadual meras­mikan persidangan tersebut hari ini tetapi tidak dapat menghadi­rinya kerana berada di Bangkok, Thailand bagi menghadiri Sidang Kemuncak Dialog Kerjasama Asia Ke-2.

Menurut Najib, beliau sudah kerap merasmikan Persidangan Perwakilan Parti Gerakan dan setiap kali hadir semangat 1Malaysia yang ditunjukkan oleh para perwakilan sentiasa dapat dirasakan.

“Semoga menerusi kesepakatan dan kerjasama yang baik dan ikhlas, saya percaya BN akan terus memimpin negara ke arah kejayaan yang lebih gemilang dan membanggakan,” jelasnya.

– UTUSAN

.