GERAKAN MUNGKIN SERAH KERUSI BATU KEPADA PPP, KATA SUMBER

GERAKAN berkemungkinan besar akan menyerahkan kerusi Parlimen Batu di Kuala Lumpur kepada Parti Progresif Rakyat (MyPPP) sebagai ganti kepada kerusi Kepong, kata sumber MyPPP.

“Gerakan sudah kalah di Batu dalam dua pilihan raya sebelum ini, ada asasnya mereka menyerah. MyPPP pula telah aktif di Batu sejak beberapa tahun lalu, rakyat juga semakin menerima kami,” kata pegawai parti itu kepada The Malaysian Insight tetapi tidak mahu namanya didedahkan sebagai sumber.

Sumber itu menambah yang Presiden MyPPP M Kavyeas atau Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan Loga Bala Mohan yang juga merupakan naib presiden MyPPP akan bertanding di Batu, kubu kuat Barisan Nasional sebelum ia jatuh kepada pembangkang dalam tsunami politik 2008.

Katanya MyPPP bersetuju memulangkan kerusi Kepong kepada Gerakan yang ditandinginya pada Pilihan Raya Umum Ke-13. MyPPP dan Gerakan adalah parti komponen BN.

Calon MyPPP Chandrakumanan Arumugam tewas kepada penyandang kerusi itu, Tang Seng Giaw, seorang veteran politik DAP yang memegang Kepong sejak 1982.

Ditanya jika pertukaran Batu dan Kepong sudah muktamad, Kayveas berkata pembahagian kerusi antara parti komponen BN masih belum disempurnakan.

“Satu-satunya perkara yang saya boleh sahkan adalah saya tak akan bertanding di Batu…Cameron Highland adalah satu-satunya kerusi saya akan bertanding,” katanya.

MyPPP juga sedang melobi untuk bertanding di kerusi Cameron Highlands, yang kini kerusi milik MIC.

Bagaimanapun, hasrat Kayveas mungkin tidak dipenuhi selepas kenyataan dikeluarkan Ketua BN Pahang dan Menteri Besar Adnan Yaakob mengatakan Cameron Highlands akan terus kekal diberikan kepada MIC.

Ketua Pemuda MIC Sivarraajh Chandran disebut-sebut sebagai calon Cameron Highlands.

Bekas Presiden MIC G. Palanivel menewaskan M. Manogaran daripada DAP dan tiga calon lain dengan majoriti 426 undi untuk menang Parlimen Cameron Highlands pada 2013.

Kerusi itu disandang Timbalan Presiden MIC S. K. Devamany antara 2004 dan 2013.

Sementara itu, Naib Presiden Gerakan dan calon Batu, Dominic Lau menafikan spekulasi yang Batu akan diserahkan kepada MyPPP.

“Spekulasi tentang PPP mewakili BN di Batu sudah wujud sejak pilihan raya lepas…MyPPP tidak buat permohonan tahun lepas, tetapi ini sudah diselesaikan,” kata Lau.

Penyandang Batu sekarang ialah Chua Tian Chang daripada PKR yang lebih dikenali sebagai Tian Chua yang menewaskan Lau, Hashim Karim daripada Berjasa dan dua calon bebas dengan majoriti 13, 284 pada 2013.

Tian Chua pertama kali menang di kerusi majoriti Melayu itu dengan menewaskan Lim Si Pin, yang juga merupakan anak bekas Presiden Gerakan Lim Keng Yaik dengan majoriti 9,455 undi pada 2008.

Sebelum itu, BN berkuasa di kawasan itu sejak 1986 sehingga tewas pada 2008.

Pembangkang hampir berjaya merampas kerusi itu daripada BN pada 1999 apabila Sanusi Osman, calon Parti Rakyat Malaysia tewas kepada Ng Lip Yong daripada BN dengan 2,297 undi.

Bekas pemimpin Parti Buruh dan pengasas bersama Gerakan, Dr Tan Chee Khoon memegang Batu antara 1964 hingga 1974 sebagai ketua pembangkang.

– https://www.themalaysianinsight.com/

.