Gerakan jangka PRU14 dalam 9 bulan lagi

Presiden Gerakan, Datuk Seri Mah Siew Keong berkata, beliau menjangka pilihan raya umum ke-14 yang akan diadakan dalam tempoh sembilan bulan, demikian menurut laporan Sin Chew Daily.

Jika benar, pilihan raya umum akan diadakan pada pertengahan tahun depan.

Pilihan raya umum sebelum ini dikatakan bakal diadakan pada bulan Mac akan datang dan telah menjadi buah mulut di kalangan pemimpin Umno peringkat bahagian, lapor Bloomberg.

Dalam satu wawancara, Mah berkata, Gerakan telah hampir memuktamadkan senarai calon bagi 45 kerusi Dewan Undangan Negeri dengan pengecualian beberapa kerusi di Pulau Pinang.

Mah berkata, walaupun pilihan raya umum 2008 telah digambarkan sebagai tsunami politik pembangkang, beliau menjangkakan pelbagai jenis tsunami politik pada pilihan raya umum akan datang.

“Saya telah melihat kebangkitan politik di kalangan rakyat, terutamanya masyarakat Cina dengan mereka mula bertanya dan mengkritik pembangkang.

“Keadaan ini tidak seperti tahun 2008 dengan kritikan hanya tertumpu kepada BN,” beliau dipetik sebagai berkata.

Mah turut percaya BN berpotensi mendapatkan semula majoriti dua pertiga jika pembangkang terlibat dalam pertembungan pelbagai penjuru.

– M’kini

.