Gerakan Baju Merah buat laporan polis terhadap Maria Chin

Gerakan Baju Merah hari ini membuat laporan polis berhubung kenyataan yang dibuat oleh Pengerusi BERSIH 2.0, Maria Chin Abdullah yang disifatkan sebagai biadap.

Menurut Ketua Penerangannya, Ariffin Abu Bakar, kenyataan yang dibuat Maria pada sidang media Rabu lalu dianggap biadap kerana cuba menghasut orang ramai untuk melakukan perbuatan yang salah di sisi undang-undang.

Malah, katanya, Maria juga cuba untuk mengganggu keamanan dan ketenteraman orang awam dengan mengajak orang ramai supaya menghadiri perhimpunan BERSIH 5.

“Saya melihat kandungan video sidang media berkenaan dan saya anggap penjelasan dia biadap yang menghasut orang beramai-ramai turun ke perhimunan BERSIH 5 yang mana saya rasa ini tindakan yang akan mengganggu-gugat ketenteraman awam,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Ampang Jaya, hari ini.

Selain itu, Ariffin berkata, pada sidang media yang dilakukan oleh Gabungan Pilihan Raya Adil dan Bersih (BERSIH) itu juga bersifat menghasut kerana cuba menanam api kebencian terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Sehubungan itu, katanya, laporan polis di buat pada hari ini bertujuan supaya pihak polis mengambil tindakan termasuk menghalang daripada kumpulan itu melakukan siri jelajah sebelum perhimpunan BERSIH 5.

“Kita buat laporan bagi membantah sekerasnya tindakan mereka dan minta pihak berwajib mengambil tindakan termasuk menghalang berlakunya BERSIH 5 yang memberi kesan negatif pada mata dunia.

“Ini amat memalukan negara kita,” katanya lagi.

Gabungan pro-reformasi itu menetapkan perhimpunan BERSIH 5 pada 19 November depan dengan bertemakan ‘Satukan Tenaga, Malaysia Baru!’.

Malah beberapa acara konvoi seluruh negara akan dianjurkan menjelang himpunan itu, bermula 1 Oktober.

Ekoran itu, Gerakan Baju Merah juga dilaporkan memberitahu pihaknya bakal menampilkan 40 peratus penyertaan kaum Cina di Malaysia bagi menyaingi BERSIH 5.

Pengerusinya, Datuk Jamal Yunos dilaporkan berkata perhimpunan itu mensasarkan penyertaan 300,000 peserta Baju Merah sebagai reaksi balas kepada demonstrasi BERSIH 5.

Jamal juga dilaporkan sebelum ini berikrar kumpulannya akan memenuhi kawasan perhimpunan BERSIH 5.0 pada masa dan tempat yang sama. – M’kini

.