‘GELARAN DATUK BUKAN UNTUK SAYA TAPI MCA’

Bekas pemimpin DAP Hiew King Cheu berkata MCA perlu diberikan pujian kerana anugerah Datuk yang diterima pada bulan lepas daripada Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin.

“Gelaran Datuk ini bukanlah milik saya, tetapi untuk MCA. MCA diiktiraf di Sabah, oleh itu ketua menteri dan Yang di-Pertua Negeri fikir MCA harus diberi anugerah.

“Kebetulan, anugerah diberikan kepada saya. Terima kasih,” kata Hiew pada perhimpunan agung tahunan MCA malam ini.

Hiew, yang juga ADUN Luyang, keluar dari DAP pada Ogos 2013 sebelum menyertai MCA pada Jun 2014.

Bercakap kepada perwakilan di ibu pejabat MCA, Hiew memuji parti itu kerana bekerja keras untuk rakyat dan bukannya terlibat dalam pertempuran dalaman seperti DAP.

“Saya melihat rakan-rakan saya dalam MCA berkhidmat kepada rakyat, mereka tidak mementingkan diri sendiri.

“Ketika saya berada dalam DAP, mereka selalu mengatakan ‘ubah’, tetapi kita mengatakan pembaharuan. Kita mahu menjadi lebih baik dan berkhidmat kepada rakyat.

“DAP paling bagus dalam pertempuran dalaman dan tikam belakang. Saya telah ditikam dari belakang lima hingga enam kali yang membuatkan saya meninggalkan DAP.

“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada presiden kerana meminta saya untuk menyertai dan berkhidmat kepada MCA, “katanya.

Hiew, yang membahaskan ucapan dasar presiden MCA, Datuk Seri Liow Tiong Lai, juga menggesa parti itu menjelaskan kepentingan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) untuk menentang momokan pembangkang mengenai perkara itu.

Beliau juga meminta MCA membantu parti itu di Sabah untuk memenangi kerusi DUN Luyang dan Kapayan pada pilihan raya umum akan datang.

– M’kini

.