GEJALA DADAH, ZINA, JENAYAH KINI MENGGONCANG PENEMPATAN FELDA

FELDA Chini yang terletak di tengah pendalaman Pahang memberikan gambaran jelas tentang bagaimana masalah sosial menggoncang kawasan reformasi tanah selepas Merdeka yang berjaya membebaskan pesertanya dari kemiskinan.

Menurut penduduk di sini, sekurang-kurangnya lima kematian setahun dicatatkan kerana HIV akibat penagihan dadah.

Menurut Ketua Gerakan Anak Muda Felda Chini, Mohd Firdaus Salleh, sejak kebelakangan ini kematian kerana HIV sudah berkurangan kerana penagih dadah kini tidak lagi menggunakan jarum suntikan.

“Kini mereka gunakan dadah sintetik yang tidak perlu suntik tetapi kesan sampingannya lain pula,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Bagi beliau, sudah menjadi rahsia umum di Felda Chini, setiap keluarga secara puratanya akan ada sekurang-kurangnya satu kes penagihan dadah.

“Di sini, ada dicatatkan, gadis berumur 13 tahun iaitu tingkatan satu melahirkan anak luar nikah. Puratanya dua kelahiran anak luar nikah setahun di sini,” katanya yang bimbang dengan suasana ini.

“Bagi saya punca utamanya adalah biografi kawasan ini yang terpencil dan jauh dari pihak penguatkuasaan,” katanya.

Felda diasaskan oleh perdana menteri kedua, Abdul Razak Hussein dan ia diakui seluruh dunia sebagai usaha yang berjaya menghapuskan kemiskinan di kalangan mereka yang tidak memiliki tanah sebelum itu.

Ketua Gerakan Anak Muda Felda Chini, Mohd Firdaus Salleh turut melahirkan kebimbangan dengan gejala sosial yang kian meruncing di kawasan penempatan Felda. – Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 26 November, 2017.
Ketua Gerakan Anak Muda Felda Chini, Mohd Firdaus Salleh turut melahirkan kebimbangan dengan gejala sosial yang kian meruncing di kawasan penempatan Felda. – Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 26 November, 2017.

Terdapat lebih 112,000 keluarga peneroka Felda di seluruh negara.

Dengan jumlah penagih dadah 30,844 yang direkodkan Jabatan Statistik pada tahun 2016 di seluruh negara, negeri Pahang dan Johor, yang mempunyai banyak kawasan Felda mencatatkan bilangan penagih dadah yang tinggi.

Mengikut statistik 2015, di Johor, terdapat 2,541 penagih dadah manakala di Pahang 2,066 penagih dadah dengan lebih 95% dari mereka adalah lelaki.

Bagi pengkaji isu Felda, Hisommudin Bakar, kedudukan biografi yang agak terpencil dan penguatkuasaan undang-undang yang kurang, terutama di negeri Pahang yang agak luas dan banyak kawasan peneroka, kawasan Felda adalah pusat subur membiaknya gejala negatif ini.

“Saya membuat kajian tentang Felda di Pahang dan Johor. Gejala sosial memang tenat di kawasan Felda dengan dadah menjadi masalah paling utama sejak awal penubuhannya lagi,” kata Hisommudin dari Ilham Centre.

Katanya, di peringkat awal ketika penggunaan jarum suntikan amat meluas, ramai yang kena jangkitan HIV dan meninggal dunia.

Dengan penggunaan dadah jenis baru seperti pil kuda dan syabu, penyebaran HIV sudah berkurang kerana tiada pengkongsian jarum suntikan namun gejala penagihan dadah yang lain tetap teruk.

Kesan kemerosotan ekonomi

Firdaus dan rakan-rakannya juga mula bimbang dengan masalah ekonomi dunia dan negara sejak kebelakangan ini yang bakal memburukkan lagi masalah sosial di kawasan Felda.

Menurut beliau dan rakan-rakannya, sebelum ini ramai pemuda dari Chini keluar bekerja di Pulau Pinang, Johor dan juga Kuala Lumpur.

Namun, apabila kilang-kilang dan syarikat perniagaan ditutup akibat masalah ekonomi, mereka kini pulang ke kampung semula termasuk ke Felda Chini ini.

“Ramai kawan-kawan saya yang bekerja di luar samada di kilang dan berniaga kini berbondong-bondong pulang ke kampung semula dan duduk bersama keluarga selepas kilang ditutup dan perniagaan mereka gagal.

Pemandangan ladang kelapa sawit yang menjadi punca pendapatan warga peneroka di Felda Chini, Pahang. – Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 26 November, 2017.
Pemandangan ladang kelapa sawit yang menjadi punca pendapatan warga peneroka di Felda Chini, Pahang. – Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 26 November, 2017.

“Dulu mereka keluar seorang, sekarang pulang dengan isteri dan anak-anak pula duduk bersesak-sesak dengan ibu bapa dan ipar duai mereka yang lain.

“Bayangkan bila beberapa keluarga duduk dalam satu rumah. Macam-macam masalah timbul. Hasilnya tinggal di luar rumah dengan melepak di mana-mana lebih baik bagi mereka. Maka datanglah masalah sosial ini,” katanya melahirkan kebimbangan.

“Yang menyedihkan kami, banyak kes yang dijumpai, gaji yang diberikan kepada buruh asing lebih tinggi berbanding dengan anak tempatan,” dakwa beliau dalam pertemuan dengan beliau dan rakan-rakannya di Felda Chini.

Peranan Felda

Pengerusi Felda, Shahrir Samad mengakui Felda tidak bebas dari gejala sosial sebagaimana yang dihadapi oleh seluruh negara.

“Masalah masyarakat Melayu peneroka sama saja seperti kawasan masyakat Melayu lain,” kata beliau kepada The Malaysian Insight.

Felda katanya, telah melakukan pelbagai usaha untuk mengatasinya termasuk dengan kerjasama badan-badan seperti Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK).

“Pelbagai pihak kena main peranan. Saya tidak lihat Felda sebagai empayar yang orang lain tidak boleh masuk.

“Berbagai usaha dibuat terutama skim latihan semula bagi mereka yang terjebak dengan dadah. Ada yang berjaya ada yang tidak,” katanya.

Ahli Parlimen Umno dari Mersing yang mempunyai 14 kawasan Felda di dalamnya, Dr Abdul Latiff Ahmad pula berkata, tidak semestinya penagihan dadah itu kerana Felda.

“Penagihan dadah ini sama saja di kampung Melayu atau Felda. Yang datang ke Felda ini pun datang dari kampung juga. Dia bawa masalah tu ke Felda. Jadi tidak bolehlah kita nak salahkan Felda,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Bagi Persatuan Anak Peneroka Felda (Anak) pula, kegagalan badan-badan belia memainkan peranan dengan berkesan di kawasan Felda menjadi punca gejala sosial ini.

“Bagi saya, punca utama gejala sosial ini merebak dengan mudah di kawasan Felda adalah kerana kegagalan badan belia yang sepatutnya menyediakan aktivis sihat untuk belia seperti Majlis Belia Felda Malaysia (MBFM),” kata Presiden Anak, Mazlan Aliman.

Beliau mengakui, gejala ini sangat sukar dikawal apatah lagi apabila badan-badan belia di Felda ibarat sudah mati atau hidup segan mati tak mahu di banyak kawasan Felda.

“Sejauh mana peranan MBFM ini sekarang. Bagi saya jika badan belia tidak berfungsi dengan baik, sudah tentu belia yang akan menerima padahnya,” kata beliau yang mahu semua pihak menyelesaikan masalah ini termasuk menghidupkan kembali MBFM atau mencari jalan alternatif.

– https://www.themalaysianinsight.com

.