‘Gani tak akui disingkir secara sah’

Bekas Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail tidak mengakui penyingkirannya yang berlaku secara tiba-tiba 14 bulan lalu adalah sah, kata peguam Ragunath Kesavan.

“Tan Sri Gani tidak pada bila-bila masa mengakui bahawa penyingkirannya adalah mengikut undang-undang dan perintah kerajaan.

“Beliau hanya menyatakan bahawa kedudukan Peguam Negara tidak mempunyai perlindungan perlembagaan, (berbeza) seperti kedudukan hakim,” katanya yang juga bekas presiden Majlis Peguam Malaysia berkata dalam satu kenyataan semalam.

Malaysiakini kelmarin melaporkan Gani sebagai berkata penamatan tugasnya selaras dengan Perintah Am kerajaan kerana seorang perdana menteri berkuasa untuk mengetepikan seorang peguam negara apabila dirasakan perlu.

Kenyataan itu dibuat sebagai reaksi Gani kepada soalan dikemukakan peguam Syahredzan Johan yang bertanya sama ada beliau bercadang membawa kes penamatan tugasnya ke mahkamah.

Mereka hadir di Persidangan Undang-undang Malaysia yang diadakan di Kuala Lumpur. Ragunath adalah moderator pada sesi perbincangan bertajuk Kebebasan Institusi-institusi Dalam Demokrasi.

Khidmat Gani sebagai peguam negara ditamatkan ketika beliau mengetuai sebuah pasukan petugas khas menyiasat dakwaan salah laku dan penyelewengan syarikat pelaburan milik kerajaan, 1MDB.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak adalah orang yang bertanggungjawab dalam hal ehwal syarikat berkenaan.

Ragunath berkata Gani menjelaskan terdapat pindaan undang-undang untuk membenarkan ahli politik dilantik menjadi peguam negara, tetapi “tidak pada bila-bila menerima penyingkiran beliau”.

Sebaliknya kata Ragunath Gani “membiarkan persoalan penyingkirannya itu terbuka dan berkata akan mematuhi ajaran pensyarah dan pimpinannya”. – M’kini

.