GANI PATAIL BERGELAR PEGUAMBELA DAN PEGUAMCARA

Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail, secara tiba-tiba dilucutkan jawatannya sebelum umur persaraan hari ini diterima masuk sebagai peguambela dan penguamcara di Mahkamah Tinggi Malaya.

Walaupun kerajaan memetik alasan kesihatan sebagai membehentikan khidmatnya, Abdul Gani kelihatan sihat dan bertenaga apabila beliau hadir dihadapan Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur Datuk John Louis O’Hara.

Bekas Presiden Majlis Peguam Christopher Leong, yang membuat usul supaya Abdul Gani diterima masuk sebagai peguambela dan penguamcara, berkata bekas AG selama 13 tahun, itu adalah seorang yang layak dan berkebolehan.

“Saya masih ingat walaupun sedang menjalani rawatan dialisis di Hospital Kuala Lumpur, beliau tetap mengadakan mesyuarat di hospital, dan selepas itu bergegas ke pejabatnya atau ke mesyuarat.

“Saya pernah bertanya kepadanya semasa di hospital tentang bagaimana beliau terus bertenaga, belaiu menunjuk ke arah mesin dialisis dan berkata ia adalah mesin caj semula. Beliau kemudian secara berseloroh mencadangkan supaya saya mencubanya. Dengan sopan saya menolaknya,” katanya.

Leong yang mengenali Gani lebih 20 tahun, berkata Gani seorang yang tegas, agresif, dan seorang perunding yang hebat.

“Pada hakikatnya, beliau adalah seorang profesional. Dalam berbuat demikian, beliau mungkin agak tegas dan selalu menuntut yang terbaik,” katanya.

Pada majlis itu, bekas Presiden Majlis Peguam, Ragunath Kesavan, sebagai pengajar memakaikan jubah kepada Abdul Gani selaku pelajarnya, menandakan beliau kini adalah peguambela dan peguamcara.

Petisyen untuk diterima masuk sebagai peguambela dan peguamcara itu tidak mendapat bantahan daripada mana-mana pihak.

Abdul Gani diiringi isteri Pun Sri Maimom Arif dan anaknya, Faezul Adzra Patail, yang baru menubuhkan sebuah firma undang-undang, Gani Patail Chambers di Kuala Lumpur Sentral beberapa bulan lalu.

Bekas Peguam Cara Negara Datuk Azailiza Mohd Ahad yang memilih untuk bersara awal tahun ini turut menganggotai firma itu.

Abdul Gani jarang membuat penampilan selepas ditamatkan perkhidmatannya pada 27 Julai 2015, di tengah-tengah kemuncak kemelut 1MDB.

Beliau bagaimanapun mendapati dirinya sekali lagi menjadi perhatian apabila ramai yang memohon untuk bergambar dengannya.

Bekas pendakwa raya yang sentiasa serius itu, hari ini bagaimanapun melayan permintaan berkenaan dengan senyuman lebar.

“Apa lagi hendak dicakapkan, saya memulakan karier baharu,” katanya ketika ditemui media.

Beliau enggan menjawap isu berkaitan dengan 1MDB, termasuk beberapa sabitan di mahkamah Singapura berkaitan dengan transaksi 1MDB dan cara Jabatan Peguam Negara berurusan dengan permintaan pihak berkuasa Swiss untuk mendapatkan bantuan undang-undang bersama.

Beliau juga enggan mengulas mengenai penulis blog Raja Petra Kamaruddin, yang mendakwa kedua-dua bekas Ketua Polis Negara Tan Sri Musa Hassan dan dirinya telah digunakan oleh perdana menteri ketika itu, Dr Mahathir Mohamad untuk memenjarakan bekas timbalannya, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 1990-an.
“Saya telah beritahu kamu bahawa saya tidak ada sebarang kenyataan,” katanya.

Ditanya sama ada beliau bersedia untuk berdepan Peguam Negara Tan Sri Apandi Ali sendiri, beliau berkata, “biar saya fikir dahulu.”

– M’kini

.