GAMBAR ‘VIRAL’ ASLI, TAPI PRU BELUM TENTU 30 JUN

Beredarnya gambar bahawa pilihan raya umum ke-14 (PRU14) akan berlangsung tidak sampai 200 hari lagi sudah tentu mengejutkan banyak pihak.

Bagaimanapun, kini ternyata gambar maklumat di dinding pejabat setiausaha Umno Subang Mohd Rashidi Mohamad itu benar-benar asli dan bukannya hasil suntingan komputer.

Tetapi, penjelasan Umno bahagian itu lain pula nadanya.

“Tempoh 178 hari lagi PRU14 bukan tarikh pilihan raya, tetapi tarikh akhir untuk kita (bahagian) melakukan persiapan pilihan raya di semua peringkat.

“Selepas tarikh itu nanti kita (diharap) telah bersedia sepenuhnya untuk menghadapi pilihan raya dan semua Umno bahagian mengetahuinya,” kata kata ketua Umno bahagian itu Datuk Zein Isma Ismail.

Jika mengikut kiraan itu, pilihan raya sepatutnya jatuh pada Jumaat, 30 Jun tahun ini – selepas cuti panjang sekolah dan beberapa hari selepas Hari Raya Puasa.

Ketika dihubungi Malaysiakini hari ini, Zein juga menjelaskan tempoh itu dinyatakan di pejabat mereka sebagai peringatan supaya anggota parti itu membuat persiapan segera.

Menurut beliau, langkah itu selari dengan gesaan Umno pusat supaya akar umbi Umno bersiap siaga sepenuhnya untuk berdepan PRU14 bermula tarikh itu.
Gambar dinding pejabat Mohd Rashidi bertulis “PRU14 lagi 178 hari” dikesan diedar meluas sejak beberapa hari lalu, terutamanya melalui aplikasi pesanan WhatsApp.

Penyebaran gambar tersebut menimbulkan persoalan sama ada tarikh pilihan raya umum sudah ditetapkan.

Bagaimanapun, Zien ketika ditanya bila tarikh PRU14 turut mengetahui tidak mempunyai sebarang maklumat.

“Saya pun tak tahu,” katanya lagi.

– Sinar Harian

.