Galaxy Note 7 meletup dalam poket seluar, lelaki saman Samsung

Pada Jumaat lalu, seorang lelaki dari Florida, Jonathan Strobel memfailkan saman terhadap Samsung Electronics Co selepas telefon pintar Galaxy Note 7 yang dimilikinya meletup.

Memetik laporan portal The Verge, ketika kejadian, telefon itu berada dalam poket depan seluar Jonathan menyebabkan kelecuran pada kaki kirinya.

Difahamkan, Jonanthan mungkin pengguna Samsung yang pertama di Amerika Syarikat untuk memfailkan saman terhadap syarikat gergasi telekomunikasi itu berhubung masalah bateri.

Saman itu difailkan sehari selepas Samsung menarik balik sejuta peranti mudah alih Galaxy Note 7 yang dijual di Amerika Syarikat.

Tuntutan itu meminta ganti rugi bagi bil perubatan serta kecederaan yang dialami oleh lelaki berusia 28 tahun itu, lapor Reuters.

Setakat 15 September lalu, Samsung menerima 92 laporan berhubung masalah bateri di Amerika Syarikat. Sejumlah 26 laporan adalah berhubung kes kebakaran dan 55 laporan lagi berhubung kes kerosakan harta. – http://www.astroawani.com/

.