G25 SOKONG JAWATANKUASA KHAS SIASAT KEBAKARAN TAHFIZ

Pengasas dan pengetua sekolah tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah di Keramat, Kuala Lumpur perlu dipertanggungjawabkan kerana gagal memenuhi aspek keselamatan terhadap kanak-kanak yang berada di bawah tanggungjawab mereka, kata kumpulan G25 hari ini.

Dalam satu kenyataan, kumpulan Melayu terkemuka itu berkata pihak berkuasa agama tidak boleh menghalang siasatan terbuka terhadap mana-mana kes seumpama itu.

Mereka sebaliknya menyokong penubuhan jawatankuasa khas yang dicadangkan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi bagi melihat kejadian kebakaran berkenaan.

Zahid semalam berkata beliau sendiri akan mengetuai jawatankuasa khas itu bagi menyiasat kebakaran yang berlaku awal pagi di sekolah berkenaan yang mengorbankan 21 pelajar dan dua warden.

“Ini adalah amalan biasa dalam masyarakat demokratik dan sivil dan mencerminkan negara yang peduli dan bertanggungjawab.

“Malaysia tidak harus mengecualikan sekolah agama daripada prinsip keadilan awam atau menyembunyikan masalah asas pendidikan agama daripada pemerhatian awam, kerana ini hanya akan membawa kepada tragedi serupa berulang pada masa akan datang.

“Semua sekolah agama swasta haruslah tertakluk kepada piawaian minimum bagi sekolah berasrama, termasuk nisbah guru / pelajar yang betul dan mematuhi piawaian keselamatan kebakaran,” kata kenyataan itu.

Memetik rekod yang menyatakan terdapat lebih 200 kejadian kebakaran di sekolah-sekolah tahfiz di seluruh negara sejak dua tahun lepas, G25 berkata aspek keselamatan di sekolah-sekolah berkenaan harus segera diperiksa sebelum tragedi lain berlaku.

– M’kini

.