G25 HANYA DIMAKLUMKAN TEMPAHAN DEWAN BATAL OLEH KATERER

PERSATUAN Alumni Universiti Malaya (Paum) yang membatalkan tempahan dibuat G25 untuk forum yang sepatutnya diadakan di dewannya tidak memaklumkan pembatalan itu secara langsung kepada gabungan individu Melayu unggul itu, kata Noor Azimah Abdul Rahim.

Noor Azimah mengatakan, sebaliknya mereka mendapat tahu pembatalan dewan itu menerusi pihak katerer 12 hari sebelum majlis dijadualkan berlangsung hari ini.

“Tetapi dengan semua perkara yang berlaku sekarang menunjukkan apa yang kami lakukan ada betulnya,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Forum itu kini sedang berlangsung di Ideal Convention Centre (IDCC) Shah Alam.

G25 adalah kumpulan orang Melayu unggul yang bergiat aktif dalam pergerakan masyarakat sivil sebagai pejuang Islam sederhana yang selari dengan prinsip Islam.

Beliau menambah yang forum awam G25 bertajuk “Reforms for a Progressive Malaysia” sepatutnya berlangsung pada minggu pertama bulan Disember tahun lepas dan tempahan sudah dibuat seawal Jun lagi.

“Tetapi apabila forum pertama kami diadakan di Paum pada 2015, kami bayar semua bayaran tepat pada masanya dan ketika itu kami belum berdaftar lagi.

“Isnin lepas, presiden Paum hantar surat kepada katerer kami mengatakan mereka batalkan majlis.

“Jadi surat itu bukan kepada G25, katerer kami yang menghubungi kami. Sehingga hari ini kami belum dapat surat permohonan maaf daripada Paum,” katanya.

Katanya, Paum memberitahu katerer yang terdapat dua tempahan bertembung pada tarikh sama dan mereka memberikan dewan itu kepada pihak yang mengadakan majlis perkahwinan di sana.

Noor Azimah berkata katerer itu juga memberitahunya yang Paum mengadu tentang risalah majlis mereka kerana tidak jelas ditunjukkan di situ yang G25 adalah penganjurnya.

“Jadi kami ubah dan hantar balik tetapi mereka masih tak balas.

“Mereka juga kata G25 bukanlah entiti berdaftar dan kami mungkin jadi liabiliti undang-undang,” katanya.

– https://www.themalaysianinsight.com

.