FORMULA BENTUK KERAJAAN BAHARU

SHAH ALAM – Pakatan Harapan berpotensi besar untuk membentuk kerajaan baharu dengan memenangi 113 daripada 222 kerusi parlimen, dan memenangi lima negeri dalam PRU akan datang melalui formula ‘10 + 5 peratus’.

Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang berkata, Pakatan Harapan boleh berjaya biarpun Pas akan menjadi ‘pengganggu’ dan menyebabkan berlakunya pertandingan tiga penjuru.

“Tsunami rakyat Malaysia ini akan berlaku jika 10 peratus pengundi Melayu dan lima peratus pengundi bukan Melayu mengalih undi mereka daripada BN kepada Pakatan Harapan,” katanya seperti disiarkan dalam Sin Chew Daily.

Menurut Kit Siang, Pakatan Harapan bukan sahaja akan memenangi majoriti kerusi parlimen di semenanjung, malah akan berjaya mentadbir Perak, Negeri Sembilan dan Johor serta terus mempertahankan Pulau Pinang dan Selangor dengan majoriti lebih besar.

Mengikut statistik seperti yang diberikan Kit Siang, bagi Dun Perak, BN dijangka hanya dapat mempertahankan 20 kerusi (34 peratus) manakala Pakatan Harapan memenangi 39 kerusi (66 peratus). Manakala Negeri Sembilan, BN hanya mampu memenangi 17 kerusi (47 peratus) berbanding Pakatan Harapan, 19 kerusi (53 peratus).

“Johor pula dijangka saksikan BN tumbang dengan hanya 20 kerusi (35 peratus), manakala Pakatan Harapan memperoleh 36 kerusi (65 peratus). Di Pulau Pinang, BN hanya mampu memenangi tiga kerusi (7 peratus) manakala Pakatan Harapan terus kekal memerintah dengan memenangi 37 kerusi (93 peratus),” jelas Kit Siang.

Bagi Selangor, kata beliau lagi, BN dijangka mengalami kemerosotan dengan enam kerusi (11 peratus) berbanding Pakatan Harapan meningkatkan kemenangan sebanyak 50 kerusi (89 peratus).

“Sekiranya formula ’10+5 peratus’ ini menjadi kenyataan, Pakatan Harapan akan muncul sebagai kerajaan baharu dan tidak lagi dibayangi BN setelah memerintah negara selama 60 tahun,” katanya.

– Sinar Harian

.