FESTIVAL ‘BETTER BEER’ 2017 TETAP TIDAK DIBENARKAN

KUALA LUMPUR – Penganjuran Festival ‘Better Beer’ 2017 yang dirancang diadakan di Solaris Damansara pada 6 dan 7 Oktober ini tetap tidak akan dibenarkan, tegas Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor.

Menurutnya, meskipun penganjur yakin dengan aspek keselamatan yang dititik beratkan, namun itu tidak menjamin dari sebarang kemungkinan perkara tidak diingini.

“Akta dah tetapkan tidak boleh minum berpesta secara terbuka. Kita bimbang kerana tidak tahu apa yang mereka (peserta) akan lakukan.

“Mereka boleh buat di rumah, pub, hotel atau restoran tetapi tempat terbuka kita tidak akan benarkan. Mereka kata keselamatan terjamin tapi ia menjamin apa-apa kerana bila berlaku perkara tidak diingini, disalahkan kerajaan,” katanya kepada pemberita, di sini hari ini.

Beliau mengulas berhubung permintaan pihak penganjur festival berkenaan yang mahu Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mempertimbangkan semula permohonan penganjuran itu dengan meneliti pelan keselamatan yang disediakan.

Pihak penganjur meyakinkan bahawa aspek keselamatan ditekankan seperti mana penganjuran acara sama sejak lima tahun lalu dengan pemeriksaan pengenalan dan keselamatan secara ketat di semua pintu masuk ke kawasan itu.

Sebelum itu, PDRM turut menyatakan pendirian membantah pesta arak berkenaan ekoran wujud ancaman keselamatan oleh kumpulan militan.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun berkata, terdapat maklumat wujud perancangan oleh pihak militan yang akan melakukan sabotaj kerana menganggap ia bertentangan dengan perjuangan mereka.

–¬†http://www.sinarharian.com.my/

.