FELDA TIDAK TERJEJAS WALAU JUAL ASET LONDON

JOHOR BAHRU – Operasi Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) tidak terjejas walaupun selepas menjual aset-asetnya termasuklah di London.

Pengerusi Felda, Tan Sri Shahrir Abdul Samad berkata, penjualan aset yang tidak menyumbang kepada peranan Felda dalam menjaga kesejahteraan peneroka itu juga tidak menjadikan lembaga tersebut muflis.

“Kalau kita ada harta di London…di Bayswater, operasi Felda tak terjejas pun dan ia pun tidak menyumbang kepada operasi Felda iaitu menjaga kesejahteraan peneroka.
“Jadi takkanlah kita jual, Felda dah nak jadi bankrup dan sebagainya,” katanya kepada pemberita pada Program Gotong Royong Cegah Wabak Denggi di Pangsapuri Taman Larkin Idaman A, di sini hari ini.

Shahrir berkata, siri jelajah dianjurkan pakatan pembangkang yang didakwa untuk menyelami masalah peneroka Felda, juga dilihat bertujuan menghasut.

Katanya, siri jelajah itu tidak akan membawa kepada kemajuan dan keselamatan Felda mahupun peneroka.

“Kalau betul nak tegapkan Felda, mantapkan Felda, nak tentukan peneroka ini sejahtera, ialah melalui tindakan, pemikiran, semangat dan niat yang betul,” katanya.

Selain itu, katanya, laporan prestasi kewangan Felda akan dibawa ke mesyuarat lembaga pengarah di Kuala Lumpur, 20 Februari ini.

“Bila dah mesyuarat nanti, kita maklumkan. Pada kami yang mustahak, sama ada saham ataupun harta.. itu adalah pelaburan,” katanya.

Shahrir berkata, fungsi Felda bukan menguruskan bank atau harta, sebaliknya dana agar ada pulangan untuk digunakan dalam operasi lembaga tersebut.

Katanya, menjadi tanggungjawab Felda untuk menguruskan kesejahteraan dan hasil kebun peneroka.

“Itu kita punya tugas. Mustahak kita uruskan dana itu dengan baik. Maknanya wang tunai, pelaburan dalam saham, harta dan syarikat mesti ada pulangan.

“Dan pulangan ini, kalau tidak berbaloi, tetapi harga ia meningkat, jadi kita jual. Ini bukan harta untuk menjadi asas kepada operasi kita,” katanya.

– www.sinarharian.com

.