FELDA: TAKKAN ISA BERANI KALAU PM TAK TAHU, KATA PAS

PAS berpendapat tidak mungkin untuk Tan Sri Isa Samad berani melakukan transaksi yang didakwa merugikan Felda jika ia berada di luar pengetahuan perdana menteri.

Timbalan Presiden PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata untuk menjelaskan keributan yang melanda agensi kerajaan yang mengeloka peneroka itu Datuk Seri Najib Razak juga perlu membuat penjelasan mengenainya.

“Apakah beliau (Najib) tahu mengenai perjanjian ini jauh lebih awal?” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tuan Ibrahim berkata demikian sebagai mengulas isu pemilikan tanah di Jalan Semarak yang kini terlepas daripada kawalan Felda.

Isu pemilikan tanah itu mula menjadi perhatian apabila laporan mengenainya didedahkan sebuah akhbar arus perdana pada Disember lalu.

Proses memindah milik tanah itu dipercayai berlaku apabila Felda Investment Corporation Sdn Bhd (FIC) melantik sebuah syarikat tempatan sebagai pemaju utama pada 3 Jun 2014 dan diberikan surat kuasa wakil penuh bagi membangunkannya.

Jangan cepat menghukum

Tanggapan umum ialah laporan mengenai sesuatu skandal kerajaan yang dipaparkan media arus perdana biasanya tidak akan disiarkan tanpa mendapat persetujuan daripada pihak berkuasa di Putrajaya.

Isa yang juga bekas pengerusi Felda sudah diambil keterangannya oleh pihak berkuasa baru-baru ini.

Untuk rekod Isa adalah bekas menteri besar Negeri Sembilan dan pernah dipilih perwakilan Umno untuk menjadi naib presiden mereka. Beliau bagaimanapun kemudian didapati bersalah atas amalan politik wang.

Naib Presiden Umno Datuk Seri Hishammuddin Hussein pula meminta orang ramai tidak cepat menghukum – termasuk melalui media sosial – berhubung skandal berkenaan.

“Biarlah siasatan berjalan macam biasa.

“Kita tidak mahu ada pihak dihukum awal sama ada menerusi media atau media sosial,” katanya di Kluang, Johor pada 6 Jan lalu.

Kata Tuan Ibrahim pelbagai laporan yang bercanggah mengenai isu itu memerlukan penjelasan yang telus daripada Felda.

Justeru katanya Pengerusi Felda Tan Sri Shahrir Samad mesti mendedahkan perjanjian antara FIC dan syarikat pemaju itu untuk tatapan umum.

Tuan Ibrahim turut memetik dakwaan sebuah portal yang mendakwa penjualan tanah terbabit memang dipersetujui semua anggota lembaga pengarah Felda.

Pada masa sama katanya laporan media yang memetik Shahrir pula membayangkan anggota lembaga pengarah agensi terbabit telah dikelirukan sehingga pemilikan tanah itu bertukar tangan.

Jika maklumat yang disampaikan kepada umum tidak tepat, kata Tuan Ibrahim, segala tindak balas pihak berkuasa dalam isu Felda itu – termasuk siasatan serta pengauditan – hanyalah sandiwara.

“PAS berpendapat mustahil Isa berani melakukan transaksi itu tanpa pengetahuan perdana menteri.

“PAS turut menuntut agar perdana menteri tampil memberitahu rakyat apakah beliau tahu mengenai perjanjian ini jauh lebih awal?

“Jika ya, maka segala aksi memanggil audit dan siasatan hanyalah wayang agar peneroka Felda dapat ditipu kononnya tanah itu masih dapat diselamatkan supaya BN (memenangi) pilihan raya umum ke-14 sedangkan perjanjian itu urus niaga yang sah dan tidak dapat dilakukan apa-apa lagi,” katanya.

– M’kini

.