FELDA TAK AKAN DITUTUP, AKAN DITAMBAH BAIK – KIT SIANG

Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) tidak akan ditamatkan operasinya jika Pakatan Harapan (HARAPAN) dan sekutunya membentuk kerajaan Persekutuan pasca pilihan raya umum akan datang.

Dalam memberi jaminan tersebut, Ketua Parlimen DAP Lim Kit Siang berkata, sebaliknya, gabungan itu berhasrat untuk menjadikan Felda lebih baik daripada hari ini.

“DAP tidak mahu Felda ditutup tetapi sebaliknya, kita mahu satu program khas untuk mengukuhkan Felda supaya peneroka Felda dan generasi baru di Felda mendapat keadilan dan kemakmuran di Malaysia,” kata Lim.

Lim berkata demikian semasa berucap di Bangi, Selangor malam tadi dalam acara pengumpulan dana untuk Mazlan Aliman, aktivis Parti Amanah Negara (AMANAH) yang pakar dalam isu-isu Felda.
Mazlan kini berhutang RM350,000 dengan Felda ekoran saman fitnah ke atas beliau.

Lim berkata politik perkauman, kebencian dan pembohongan telah mencapai tahap yang baru, memetik bagaimana Presiden Umno Datuk Seri Najib Tun Razak mengekalkan tiga “pembohongan besar ala Nazi”.

– M’kini

.