FELDA AKAN KEHILANGAN RM38 JUTA DARIPADA JUALAN HARTANAH DI LONDON, DAKWA RAFIZI

ANGGARAN kerugian yang akan dihadapi Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) daripada jualan Grand Plaza Serviced Apartment di London boleh mencecah RM38 juta, dakwa Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli.

“Apa yang berlaku ialah hotel tidak terjual dan masih berada di pasaran sejak Julai, hasil kajian saya menunjukkan ia masih tiada pembeli.

“Pembelian hartanah yang berharga RM538 juta dibuat pada 2013 itu tidak memberi kelebihan kerana ia tidak sesuai dengan portfolio perniagaan Felda, tetapi Felda akan menanggung kerugian kerana ia dijual ketika Felda kekurangan dana dan prestasi perniagaan mereka tidak baik,” katanya.

Ahli Parlimen Pandan itu juga berkata, kenyataan yang dibuat oleh Shahrir adalah angkuh dan tidak bertanggungjawab kerana ia tidak mencerminkan kepimpinan Felda dalam memahami kesengsaraan yang dihadapi rakyat Malaysia.

“Saya kata beliau (Shahrir) angkuh kerana beliau memperkecilkan skandal kewangan Felda yang perlu ditanggung oleh rakyat.

“Ia (kenyataan itu) pada saya tidak menyusahkan tetapi pada saya ia sangat angkuh,” katanya pada sidang media di ibu pejabat Invoke di Kuala Lumpur hari ini.

Rafizi merujuk kepada kenyataan yang dibuat oleh Shahrir yang membandingkan jualan hotel itu seperti menjual kenderaan mewah. 

Dalam satu temubual dengan China Press, Shahrir menafikan bahawa Felda menjual hartanah dan sahamnya berikutan kelemahan status kewangan. Beliau juga berkata jualan hartanah itu bukan punca kerugian sebenar tetapi sebaliknya hanya menyakiti ego seseorang.

Rafizi juga berkata dalam kajian yang dibuat bersama pasukannya, Grand Plaza Serviced Apartments tidak membuat sebarang keuntungan kecuali pada tahun pembelian itu dibuat.

“Penyata kewangan FIC (Felda Investment Corporation UK Properties Sdn Bhd sebenarnya mengesahkan bahawa Felda kerugian RM9 juta pada 2014 dan jumlah itu meningkat kepada RM16.7 juta pada tahun berikutnya,” tambahnya.

– https://www.themalaysianinsight.com

.