FD ISKANDAR PERLU NAFI DAKWAAN TUNKU ABDUL AZIZ

KUALA LUMPUR  – Pengerusi Media Prima Bhd., Datuk Seri Fateh Iskandar Mo­hamed Mansor diminta segera menafikan dakwaan Pengerusi Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah Malaysia, Tunku Abdul Aziz Ibrahim bahawa beliau menyatakan perkara tidak benar dan secara sengaja mengelirukan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.
Penolong Setiausaha Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Mohamad Sahfri Ab. Aziz berkata, dakwaan itu amat serius kerana TV3 adalah sebahagian daripada saluran rasmi kerajaan yang membawa berita dan informasi yang benar serta tepat kepada rakyat.

“Kejayaan TV3 sebagai sumber utama berita, maklumat dan hiburan telah memberi inspirasi yang besar maknanya kepada rakyat.

“Justeru, kekalutan sebegini seharusnya dielakkan demi menjaga imej baik TV3,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Pada 13 Disember lalu, Tunku Abdul Aziz mendakwa, Fateh Iskandar atau lebih dikenali sebagai FD Iskandar telah memaklumkan kepada Perdana Menteri pada 28 November lalu kononnya penarafan TV3 jatuh mendadak berikutan kemunculannya melalui Buletin Utama selama 12 malam berturut-turut.

Bekas Naib Presiden DAP itu menyatakan, maklumat yang diberikan Fateh Iskandar itu bukan sahaja tidak tepat malah tidak disahkan oleh agensi penarafan televisyen yang diiktiraf dan profesional.

Tunku Abdul Aziz turut mendakwa, Fateh Iskandar telah menggunakan nama beliau untuk menyingkirkan Pengarang Urusan Kumpulan Berita dan Ehwal Semasa Media Prima, Datuk Seri Mohd. Ashraf Abdullah.

Jumaat lalu, Tunku Abdul Aziz memberi kata dua kepada Fateh Iskandar untuk mengambil tindakan undang-undang jika permohonan maaf tidak diterima dalam masa terdekat.

– UTUSAN

.