FASTAQIM 2.0 ISYARAT PAS KEPADA PIHAK LAWAN

KUALA TERENGGANU – Himpunan Fastaqim 2.0 yang berjaya mencapai sasaran 200,000 peserta dilihat memberi petanda kepada pihak lawan bahawa Pas telah kembali kepada fungsi asal, malah mendapat sokongan padu walaupun bersendirian.

Pensyarah Jabatan Kenegaraan dan Peradaban Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Dr Hamdan Aziz berkata, penyertaan golongan muda lebih menonjol dalam perhimpunan itu menggambarkan Pas bakal memiliki masa depan yang baik.

“Golongan muda adalah petanda baik bagi masa depan sesebuah parti seperti Pas.  Walaupun ramai tinggalkan Pas dan tubuhkan parti lain, ia tidak beri kesan sokongan terutama peringkat akar umbi.

“Walaupun bersendirian, hala tuju Pas kini lebih konsisten. Mereka telah kembali kepada jati diri asas iaitu Islam-Melayu, yang mana ia sebelum ini kelihatan ‘samar’ ketika mereka dalam Pakatan Rakyat.

“Sekarang mereka telah kembali kepada fungsi asas iaitu Pas yang sebenar,” katanya kepada Sinar Harian.

Beliau berkata, Fastaqim 2.0 juga dilihat lebih mantap dan mendapat sambutan luar jangkaan berbanding Himpunan Fastaqim (H60K) pada Oktober 2015 di Kota Bharu, Kelantan.

“Fastaqim 2.0 menunjukkan sokongan seluruh negara dan ia di luar jangkaan kerana pemilihan lokasi strategik serta sesuai berjaya menarik minat peserta untuk hadir.

“Kawalan keselamatan (trafik) juga dikendalikan dengan baik oleh Unit Amal Pas. Ia lebih mantap dan tersusun, mungkin himpunan besar yang terakhir sebelum PRU14,” katanya.

Sementara itu, Hamdan berkata, walaupun sokongan ditunjukkan begitu besar, ia tidak menggambarkan keputusan pada PRU14.

“Kehadiran tak menggambarkan keputusan pilihan raya kerana yang hadir belum tentu mengundi, cuma dalam himpunan ini kita boleh nampak sokongan padu ditunjukkan akar umbi.

“Tidak dinafikan kehadiran orang muda lebih menonjol memberi ancaman kepada pihak lawan. Walaupun mungkin ada yang tidak mengundi, lambat laun mereka akan undi juga,” katanya.

Jelasnya, dari segi gerak kerja, Pas mempunyai jentera mantap dan tidak mustahil ia juga ancaman besar kepada pihak lawan.

“Pas bagi saya macam dulu juga, kalau dulu ketika bersama Pakatan Rakyat, gerak kerja banyak dilaksanakan mereka, kini Pas lebih menonjol walaupun  bersendirian,” katanya.

– Sinar harian

.