EZAM UMPAMA ‘LANGAU’ DALAM POLITIK

KUALA LUMPUR – Exco Pemuda Umno, Nazir Hussin Akhtar Hussin menempelak Presiden Hisbah Centre For Reform, Datuk Mohamad Ezam Mohd Nor yang disifatkan sebagai ‘langau’.

Menurutnya, langau gemar menghurung bangkai dan kehadiran serangga pengotor ini juga akan menyebabkan rasa rimas dan terganggu terutama apabila sedang menikmati juadah.

“Beliau (Mohamad Ezam) hanya tahu membuat bising tanpa diundang dan tidaklah sehebat mana pun.

“Itulah Mohamad Ezam, di mana ada dedak di situlah dia akan hinggap dan duduk dengan diam tanpa pedulikan manusia di sekelilingnya…apabila dedak habis dimakan, beliau akan kembali menunjukkan belangnya,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Mohamad Ezam keluar daripada Umno pada tahun 1998 untuk menyertai PKR dan keluar daripada parti itu pada tahun 2007 untuk menyertai Umno semula.

Kemudian, sekali lagi keluar pada 2016, dan menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia.

Sementara itu, Nazir turut mempersoalkan usaha yang dilakukan Mohamad Ezam ketika dalam Umno dan diberi jawatan tinggi.

“Selepas keluar daripada Umno, barulah sibuk hendak membanteras rasuah dan sebagainya. Ketika dalam Umno, beliau dilantik sebagai Ahli Dewan Negara pada 2010 dan kemudian dilantik pula sebagai Pengarah Komunikasi Kementerian Kewangan pada 2014.

“Di mana suara beliau ketika itu dalam membanteras rasuah? Kini beliau bertindak pula sebagai Pengerusi Hisbah Centre For Reform, dan tindakan pertamanya adalah membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) agar membuka semula siasatan berhubung bekas anak syarikat 1MDB, SRC International Sdn Bhd (SRC),” katanya.

Nazir berkata, Mohamad Ezam tidak wajar berkata demikian kerana beliau telah dilantik sebagai anggota Jawatankuasa Khas Mengenai Rasuah, SPRM.

Menurutnya, fungsi jawatankuasa itu ialah menasihati perdana menteri mengenai rasuah di Malaysia, memeriksa laporan tahunan SPRM serta mendapatkan penjelasan dan penerangan mengenai laporan tahunan SPRM dan ulasan Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah.

SINAR HARIAN

.