EZAM PULA INTAI KERUSI PARLIMEN SHAH ALAM

BEKAS aktivis Reformasi, Ezam Mohd Noor akan bertanding sama ada di kerusi Parlimen Shah Alam atau Klang pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) ini, selepas pertubuhan antirasuah yang diketuainya mengumumkan beliau akan menjadi calon pilihan raya.

Sebagai anak Selangor, beliau mahu membantu Pakatan Harapan (PH) mempertahankan negeri itu daripada dirampas oleh Barisan Nasional (BN), katanya.

Jelas Ezam, beliau membuat pertimbangan itu setelah mengambil kira serangan BN terhadap kerajaan negeri Selangor yang semakin memuncak dalam tempoh setahun yang lalu.

“Kita tak boleh pandang ringan (serangan BN ini). Memang saya percaya majoriti rakyat Selangor masih bersama dengan kita (PH). Prestasi Azmin Ali sebagai menteri besar bagus, tetapi kesungguhan Umno dan Barisan Nasional itu luar biasa.

“Jadi saya merasa terpanggil sebagai anak Selangor. Saya lahir di Klang,” katanya dalam satu wawancara bersama The Malaysian Insight di Shah Alam baru-baru ini.

Ezam adalah tokoh politik kedua minggu ini yang disebut-sebut mengintai kerusi Parlimen Shah Alam selepas media melaporkan Menteri Besar Selangor Azmin Ali bakal berpindah kerusi parlimen ke kawasan itu.

Dalam wawancara itu, Ezam juga berkata sebelum ini Hisbah Centre for Reform (Hisbah) yang dipengerusikannya memberi perhatian pada kerusi Parlimen Pekan kerana simbolik melawan Perdana Menteri Najib Razak yang terkait dengan dakwaan rasuah.

Tetapi selepas pertimbangan semula, katanya, Hisbah merasakan banyak masa dan tenaga akan terbuang bertanding di Pekan kerana Barisan Nasional (BN) “akan memastikan” Najib kekal menang.

Agensi berita nasional, Bernama kelmarin memetik sumber melaporkan Azmin bakal bertanding di kerusi Parlimen Shah Alam pada PRU14.

Laporan itu bagaimanapun ditepis oleh penyandang kerusi itu, Khalid Samad, yang juga pengarah komunikasi Amanah, sebagai “khabar angin dengan niat jahat” mahu melaga-lagakan partinya dengan PKR.

Menurut Khalid, kerusi Parlimen Shah Alam itu sudah ditetapkan dalam rundingan pembahagian kerusi PH akan ditandingi oleh Amanah.

Timbalan Pengerusi Hisbah Syed Nazarudin Syed Aziz pada 24 Disember lalu, mengumumkan Ezam akan bertanding pada PRU14 dan bakal diturunkan di Pekan.

Menurut Ezam, selepas tersebarnya berita tersebut, beliau banyak menerima panggilan daripada ahli keluarga dari sebelah ayah dan ibu di Klang dan Shah Alam yang tidak mahu beliau bertanding di Pekan.

“Bila sebut Pekan, orang kampung call saya bertubi-tubi, dua tiga empat hari ini. Beritahu tolong bertanding kali ini di Klang atau Shah Alam. Ini kampung sayalah,” katanya, sambil menyebut moyang sebelah ibu dan bapanya antara orang berpengaruh di Klang – seorang ketua kampung, seorang lagi imam.

Ezam Mohd Noor yang lahir di Klang, merasa terpanggil sebagai anak Selangor yang lahir di Klang. – Gambar The Malaysian Insight oleh Najjua Zulkefli, 5 Januari, 2018.
Ezam Mohd Noor yang lahir di Klang, merasa terpanggil sebagai anak Selangor yang lahir di Klang. – Gambar The Malaysian Insight oleh Najjua Zulkefli, 5 Januari, 2018.

30 tahun dalam politik, hanya sekali bertanding PRU

Menurut Ezam, sepanjang melibatkan diri dalam politik selama 30 tahun, beliau hanya bertanding sekali sahaja pada pilihan raya umum 1999.

“Itu yang orang kampung saya marah sebab bukan pegang jawatan kecil dalam politik,” katanya.

Ezam pernah menjadi timbalan ketua bahagian Umno Petaling Jaya Selatan dan Kota Raja, dan pernah juga menjadi setiausaha Pemuda Umno Selangor. Selepas Anwar Ibrahim dipecat dari kerajaan dan Umno pada September 1998, Ezam menyertai gerakan Reformasi dan memimpin Pemuda Parti Keadilan Nasional, kini PKR.

Pada pilihan raya umum 1999, Ezam bertanding atas tiket Parti Keadilan Nasional di Parlimen Shah Alam tetapi tewas kepada calon Barisan Nasional (BN) Mohd Zin Mohamed dengan majoriti kecil 1,440 undi.

– https://www.themalaysianinsight.com

.