EZAM NAK ‘BURU’ NAJIB DI MANA SAJA

Baru saja mengumumkan penubuhan parti baru, Datuk Ezam Mohd Nor berkata, beliau akan mengetuai ‘perjuangan’ itu dengan mendepani Datuk Seri Najib Razak di mana saja perdana menteri itu bertanding.

Katanya, beliau dan pimpinan ‘Parti Bebas Rasuah’ itu enggan termasuk dalam golongan yang berdosa kerana tidak bertanggungjawab melawan penyelewengan.

“Maka kami bertekad menjadi kelompok yang akan memerangi pihak melakukan kejahatan.

“Saya sendiri akan mengetuai perjuangan ini berdepan dengan Najib di mana sahaja beliau bertanding,” katanya melalui kenyataan hari ini.

Beliau hari ini mengesahkan akan menubuhkan sebuah parti baru dengan membawa matlamat tunggal iaitu melawan rasuah.

Mengakui ia adalah sebuah parti kecil, bekas setiausaha politik Datuk Seri Anwar Ibrahim itu berkata matlamat mereka bukanlah untuk mendapatkan kuasa.

Ezam juga mengumumkan fokus utama parti itu ialah Kementerian Kewangan yang didakwanya menjadi “lubuk kejahatan”.

Semasa menganggotai semula Umno, Ezam pernah dilantik sebagai pengarah komunikasi di Kementerian Kewangan Malaysia.

Untuk makluman, Najib adalah menteri kewangan pertama, sekali gus pihak yang berkaitan secara langsung ke atas 1MDB.

Pembangkang mengaitkan perdana menteri dengan salah laku membabitkan syarikat pelaburan negara itu tetapi Peguam Negara, Tan Sri Mohamed Apandi Ali sudah mengesahkan tiada salah laku atau penyelewengan dilakukan oleh beliau.
Jika kenyataan Ezam itu direalisasikan, beliau kemungkinan besar akan bertanding dalam pilihan raya umum akan datang di kawasan parlimen Pekan yang diwakili Najib sejak 1986.

Kata Ezam, bekas naib ketua Umno Batu Kawan – yang kini menjadi pengkritik tegas Najib – Datuk Seri Khairudin Abu Hassan sudah menyatakan persetujuannya bersama dengan kempimpinan parti baru itu.

Setakat ini Ezam belum menjelaskan bagaimana ‘Parti Bebas Rasuah’ itu akan dibentuk atau bila permohonan pendaftarannya akan dikemukakan.

– M’kini

.