SHAH ALAM –  Kerajaan dan Perdana Menteri didakwa ‘takut’ selepas memfailkan bantahan awal terhadap permohonan kebenaran semakan kehakiman difailkan Datuk Seri Mohamed Azmin Ali bagi mencabar keputusan Ketua Audit Negara yang mengklasifikasikan Laporan Ketua Audit Negara ke atas 1Malaysia Development Berhad (1MDB) sebagai rahsia rasmi.

Pengerusi Hisbah Centre for Reform, Datuk Mohd Ezam Mohd Noor  berkata, ia bukti kerajaan kini gentar dokumen siasatan 1MDB ini didedahkan kepada umum apabila ia tidak lagi dilindungi Akta Rahsia Rasmi (OSA).

“Jika tidak ada sebarang salah laku dalam 1MDB, maka tidak ada apa yang perlu disorokkan oleh kerajaan dan ia juga tidak akan menjadi punca yang boleh menggugat keselamatan dan ekonomi negara.

“Jadi mengapa dokumen audit ini perlu dirahsiakan?” soalnya.

“Bagaimana pula siasatan kepada perjalanan 1MDB, sebuah entiti korporat milik kerajaan memberikan implikasi kepada keselamatan negara? 1MDB tidak terkait dengan pemilikan aset ketenteraan ataupun penyimpanan stor perang,” katanya kepada Sinar Harian, hari ini.

Ezam berkata, dari sudut kestabilan ekonomi pula, selama dua tahun ini kes 1MDB telah banyak memberikan impak negatif kepada ekonomi Malaysia.

“Tertangkapnya pihak terlibat serta penyitaan aset-aset supaya ia dapat dikembalikan kepada negara merupakan satu-satunya jalan penyelesaian kepada isu 1MDB yang mampu memulihkan keyakinan pelabur luar.

“Sekali lagi saya tekankan, OSA tidak boleh digunakan untuk menyembunyikan mana-mana perbuatan rasuah dan penyelewengan. Tindakan Perdana Menteri ini menunjukkan bahawa beliau seorang pemimpin yang tidak amanah serta takut perbuatan kotor mereka terdedah kepada rakyat.

Bekas Pengarah komunikasi Kementerian Kewangan itu berkata , Perdana Menteri sebelum ini dengan penuh yakin apabila diasak dengan soalan mengenai permasalahan 1MDB,   beliau menjawab telah mengarahkan audit penuh terhadap 1MDB dan rakyat boleh menilai melalui keputusan audit tersebut.

“Tetapi apabila audit telah selesai, laporan audit yang ditunggu-tunggu oleh rakyat telah diklasifikasikan sebagai dokumen rahsia kerajaan,” katanya lagi.

SINAR HARIAN
.