EZAM DILARANG GUNA PBR

PUTRAJAYA – Datuk Mohd. Ezam Mohd. Nor dilarang menggunakan Parti Bebas Rasuah (PBR) untuk sebarang aktiviti kerana Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) belum mengiktiraf pertukaran kepimpinan parti itu daripada parti terdahulu, Parti Generasi Baru.
Ketua Pengarah ROS, Datuk Mohammad Razin Abdullah berkata, pihaknya sudah menerima permohonan daripada pihak Mohd. Ezam untuk menukar Ahli Majlis Tertinggi parti tersebut termasuk untuk menukar nama kepada PBR dan menggunakan logo baharu.

Bagaimanapun katanya, setelah diteliti, terdapat keraguan dalam permohonan yang dibuat melalui Setiausaha Agung Parti Generasi Baru, S. Gobi Krishnan pada 31 Mac lalu iaitu lokasi Mesyuarat Agung Luar Biasa (EGM) yang tidak wujud dan status dua ahli jawatankuasa yang meragukan.
“Dalam permohonan yang dihantar oleh Gobi Krishnan, ada menyatakan lokasi EGM pada 30 Mac dibuat di pejabat parti itu di Jalan Ipoh, Kuala Lumpur, bagaimanapun selepas disiasat premis itu bukan pejabat parti sebaliknya merupakan kedai jubin yang beroperasi sejak setahun lalu.

“Dalam permohonan tersebut turut disenaraikan 12 ahli jawatankuasa parti, selepas disemak 10 individu sememangnya wujud, namun dua lagi meragukan iaitu seorang merujuk kepada individu lain dan seorang lagi pula individu yang tidak wujud,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

-UTUSAN ONLINE