EXCO MAHU TENGKU AMIR

KUALA LUMPUR 27 Dis. – Majoriti Exco Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) bersetuju untuk memohon Raja Muda Selangor (RMS) menerajui badan induk tersebut dalam usaha mencari jalan penyelesaian menamatkan kemelut yang masih membelenggu mereka.
Menurut sumber dalaman FAS, 17 daripada 19 Exco sedang cuba mengatur pertemuan dengan Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah bagi menyatakan hasrat tersebut.

Malah, pertemuan itu juga bagi menjelaskan hal sebenar berkaitan isu dalaman ba­dan induk terbabit.

“Kita (ahli Exco) ada membuat permohonan agar RMS jadi Presiden FAS. Majoriti Exco menyokong ke arah tersebut.

“(Cuma) buat masa ini, kami masih menunggu RMS membuka pintu kepada ba­risan Exco untuk menghadap dan mem­beri ruang menceritakan hal sebenar berkaitan isu dalaman FAS.

“Diharap perkara tersebut akan berlaku tidak lama lagi,” ujar sumber tersebut kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Utusan Malaysia pada Jumaat lalu melaporkan kemelut melibatkan pengurusan FAS mendapat perhatian RMS menerusi akaun rasmi Instagramnya apabila beliau me­nyarankan agar ‘orang lama’ dalam persatuan berundur secara terhormat.

Sementara itu, FAS dalam satu kenyataan hari ini menegaskan, tindakan kira-kira 18 individu yang mendakwa diri mereka sebagai gabungan penyokong The Red Giants dan berkumpul di hadapan pejabat badan induk itu hari ini, bukan mewakili keseluruhan kelab penyokong atau peminat mahu pun seluruh rakyat Selangor.

“Tindakan kumpulan ini yang mendesak peletakan jawatan ahli Exco FAS di samping menimbulkan pelbagai isu negatif di media arus perdana dan sosial jelas mempunyai agenda berniat jahat terhadap kami, serta didorong oleh pihak tertentu untuk kepentingan peribadi dan politik.

“FAS amat kesal di atas sikap individu yang dipilih bagi memimpin Exco FAS dan pengurusan Selangor tetapi lari dari isu sebenar iaitu membelakangkan perlembagaan FAS yang sekian lama digunakan tanpa masalah, sebaliknya menimbulkan pelbagai isu tidak berkaitan bagi mengelirukan para peminat,” jelas Setiausaha Agungnya, Rosman Ibrahim dalam kenyataan tersebut.

Tambahnya, ahli Exco telah dipilih secara sah pada Mesyuarat Agung Tahunan FAS dan dipertanggungjawabkan terhadap pengurusan pasukan bola sepak Selangor sehingga 2018.

“Ahli-ahli Exco yakin dapat menjalankan tugas memantapkan pasukan sepanjang tempoh tersebut di samping mengulangi janji untuk memastikan Selangor menyertai Liga Malaysia bagi musim 2017.

“FAS yakin dengan gandingan pemain berpengalaman dan pemain muda, pasukan ini akan memastikan Selangor kekal kompetitif dan memberi cabaran kepada pasukan dengan bajet lebih besar.

“FAS turut mengharapkan kerjasama dari Presiden, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali membantu pemain daripada skuad 2016 untuk mendapatkan gaji bulan November 2016 termasuk bonus tertunggak seperti mana yang dijanjikan kepada mereka,” ujarnya lagi.

– UTUSAN

.