‘ERA PENTADBIRAN TUN M ZAMAN UMNO JUGA’

SHAH ALAM – Ketua Armada Bersatu, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman menegaskan beliau tidak menentang bulat-bulat akan cadangan Pemuda Umno supaya ditubuhkan satu Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menyiasat Tun Dr Mahathir Mohamad berhubung kes kerugian bank pusat dalam urus niaga mata wang pada awal 90-an.

Syed Saddiq berkata dalam isu ini, siasatan harus dijalankan jika terdapat keraguan mahupun tuduhan.

“Namun jika siasatan mahu dijalankan, maka haruslah disiasat sampai ke lubang cacing. Jangan lupa bahawa era Tun Mahathir pun merupakan era Umno juga,” katanya dalam satu kenyataannya.

Terdahulu, Pemuda Umno menerusi Naib Ketuanya, Khairul Azwan Harun berkata, langkah penubuhan RCI itu perlu bagi mengenal pasti sama ada kerugian tersebut telah menyebabkan bank pusat berkenaan muflis dan sama ada terdapat usaha pihak tertentu menyembunyikan fakta mengenainya.

Baru-baru ini, bekas penolong Gabenor Bank Negara Abdul Murad dilaporkan berkata, bank pusat itu mengalami kerugian US$10 bilion dalam urus niaga perdagangan mata wang pada awal 90-an.

Khairul Azwan berkata, susulan pendedahan itu, Pemuda Umno telah membuat semakan dan siasatan terhadap beberapa sumber yang enggan didedahkannya dan mendapati angka kerugian sebenar adalah jauh lebih tinggi daripada yang didedahkan Abdul Murad.

Justeru, beliau berharap dengan penubuhan RCI, ia dapat menyiasat kedudukan sebenar kewangan Bank Negara pada waktu itu dan jumlah sebenar kerugiannya.

Mengimbau kembali mengenai kes ini, Syed Saddiq mengingatkan bahawa kes ini terjadi pada tahun 1991 dan ahli kabinet juga terdiri daripada Datuk Seri Najib Tun Razak yang pada masa itu merupakan Menteri Pertahanan, bekas Perdana Menteri Tun Abdullah pula sebagai Menteri Luar.

“Jika benar Tun M didapati bersalah, ini bermakna satu Umno juga bersalah kerana mempertahankan beliau. Jika benar mahu menghukum Tun M, setiap ahli Umno yang membantu dan mempertahankan beliau harus turut dihukum setimpal-timpalnya,” katanya lagi.

Ulas Syed Saddiq lagi, dalam isu ini beliau ‘naik hairan’ kenapa isu lama sering diungkit sedangkan isu terkini seolah-olah ‘dipandang sepi’ oleh pihak terbabit.

“Kenapa asyik ungkit isu yang hampir tiga dekad berlalu tanpa mengendahkan isu yang baru-baru sahaja berlaku? Adakah bila pemimpin Umno sekarang meninggalkan parti, baru Umno nak buka segala pekung di dada?.

“Sisatan RCI boleh dilakukan, bukan tak boleh akan tetapi lakukan juga siasatan RCI kepada semua yang dituduh dan diselubung keraguan terutamanya tentang penyelewengan wang oleh DS Najib/1MDB sekali,” katanya lagi.

– SH

.