EPISOD II SAGA 1MDB: SIAPA BUNUH PERJANJIAN BANDAR MALAYSIA?

Episod terbaru drama politik blockbuster 1MDB sekali lagi bermula dengan adengan yang tetap mencemaskan.

Pada ketika ramai yang menyangkakan persembahan berada pada penghujungnya dan penonton mula hilang minat, penerbit tampil dengan skrip yang mendebarkan untuk memastikan rakyat terpaku dengan skandal yang sentiasa berubah-ubah itu.

Tidak lama selepas perjanjian ‘penyelesaian’ hutang International Petroleum Investment Corporation (IPIC) – 1MDB, yang menyaksikan kementerian kewangan (MOF) bersetuju mengambil alih jaminan IPIC ke atas bon 1MDB bernilai AS$3.5 bilion, MOF mengumumkan pula pembatalan perjanjian untuk menjual kepentingan 60 peratus dalam Bandar Malaysia kepada konsortium yang diketuai oleh Iskandar Waterfront Holdings (IWH).

Seluruh dunia terkejut apabila anak syarikat milik penuh kementerian kewangan, TRX City Sdn Bhd, yang memiliki Bandar Malaysia, mengumumkan bahawa perjanjian dengan konsortium IWH telah luput kerana syarikat itu gagal memenuhi obligasi membuat pembayaran bagi kepentingan 60 peratusnya.

Konsortium pertikai dakwaan TRX City

Manakala butiran mengenai pertikaian berkenaan masih tidak jelas – dengan TRX City mahupun IWH tidak memberikan sebarang bukti untuk menyokong tuntutan mereka, kini terdapat muncul misteri baru iaitu siapa meluluskan keputusan untuk membatalkan perjanjian itu.

Berdasarkan laporan Malaysiakiniyang bertajuk ‘Arul Kanda tak setuju pembatalan perjanjian’ – sumber kerajaan memberitahu portal berita itu bahawa perjanjian RM7.41 bilion itu ditamatkan tanpa makluman kepada Arul Kanda Kandasamy, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB.

Ketika itu, Arul Kanda adalah juga pengerusi Bandar Malaysia Sdn Bhd dan ahli lembaga pengarah TRX City, sebelum dipecat oleh MOF empat hari selepas pengumuman pembatalan itu.

Insight Malaysia melaporkan sumber dari MOF memetik alasan “konflik kepentingan” sebagai tindakan ke atas Arul Kanda itu.

Di sebalik keinginan untuk mengetahui apa sebenarnya “konflik kepentingan” yang memerlukan pemecatan serta-merta Arul, kita lebih berminat untuk mengetahui siapa sebenarnya membuat keputusan untuk menamatkan perjanjian itu.

Memandangkan Arul Kanda tidak sedar tentang pembatalan perjanjian itu, ini bermakna bahawa lembaga pengarah kedua-dua TRX City dan Bandar Malaysia tidak pernah membincangkan dan membuat keputusan mengenai perkara berkenaan yang membabitkan urusniaga RM7.41 bilion.

Siapa tarik picu?

Insight Malaysia melaporkan bahawa keputusan untuk menyingkirkan Arul dibuat oleh Menteri Kewangan Datuk Seri Najib Razak dan Ketua Setiausaha Perbendaharaan Tan Sri Irwan Serigar Abdullah. Persoalan yang timbul adalah sama ada Najib membuat keputusan satu pihak untuk membatalkan perjanjian itu.

Jika ya, ini perlu dijelaskan – kuasa apa yang digunakan oleh menteri kewangan untuk membuat keputusan kritikal bagi pihak kerajaan secara unilateral, tanpa melalui lembaga pengarah syarikat?

Adakah Najib menyalahgunakan kuasa beliau sebagai menteri kewangan dan perdana menteri untuk menamatkan perjanjian dengan IWH itu?

Perlu diingat bahawa antara kontroversi terbesar skandal 1MDB adalah kuasa yang diberikan kepada perdana menteri untuk membuat semua keputusan penting dan terakhir dalam syarikat pelaburan negara itu.

Artikel 117 Memorandum Artikel dan Persatuan (M&A) 1MDB menetapkan bahawa perdana menteri perlu memberi “kelulusan bertulis” untuk sebarang perjanjian 1MDB, termasuk pelaburan syarikat itu atau sebarang tawaran untuk penyusunan semula.

Najib memberikan kelulusan muktamad untuk pelaburan berbilion-bilion ringgit yang ‘hilang’ yang dibuat oleh 1MDB dengan PetroSaudi International Limited dan Aabar Investment PJS Limited.

Sejak itu, klausa kontroversi berkenaan telah dilupuskan atas cadangan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC).

Walau bagaimanapun, nampaknya, Najib masih berkuasa dan tanpa mengikuti garis panduan Perbendaharaan, serta segala bentuk tadbir urus korporat dan akauntabiliti yang dituntut bagi mengelak kemelut 1MDB daripada berulang.
Kami menanti episod seterusnya dengan penuh debaran.
TONY PUA adalah Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara dari parti DAP.

– M’kini

.