ENAM TAHUN BERLALU, POLIS MASIH SIASAT KES ANAK GUAN ENG

Polis masih menyiasat dakwaan kononnya anak Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng telah mencabul rakan sekelasnya, hampir enam tahun sejak tuduhan berkenaan disebarkan di blog pro-Umno.

Polis menerima enam aduan mendakwa bahawa pelajar berusia 16 tahun itu melakukan jenayah berkenaan, dan wang telah dibayar untuk memastikan perkara tersebut tidak disebarkan di media sosial.

Lim telah menafikan sekeras-kerasnya dakwaan itu manakala guru besar sekolah yang dihadiri anaknya berkata tiada insiden seumpama itu berlaku.

“Kes ini diklasifikasikan di bawah Seksyen 500 Kanun Keseksaan dan sehingga kini tiada pihak yang tampil untuk mendakwa bahawa mereka telah dicabul, ataupun untuk mengesahkan kejadian itu.

“Kes ini masih dalam siasatan, untuk menentukan identiti mereka yang menyebarkan dakwaan itu,” kata Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dalam jawapan bertulis di Parlimen pada sidang tahun lalu.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan daripada Lim, yang ditanya mengapa tidak ada tindakan yang diambil terhadap mereka yang menyebarkan pembohongan.

Dakwaan itu disebarkan, antara lain, di laman web penulis blog, Papagomo yang pro-Umno.

Ia turut disertakan dengan kononnya gambar mangsa berkenaan.

Walau bagaimanapun, Anya Corke, juara catur Hong Kong yang gambarnya digunakan itu menafikan mengenali anak Lim mahupun dirinya dicabul.

Penulis blog terbabit kemudian mendakwa bahawa gambar tersebut digunakan sebagai gambar hiasan untuk melindungi identiti mangsa sebenar.

– M’kini

.