EMPAT WAKIL RAKYAT DAP MELAKA KELUAR PARTI

BANDARAYA MELAKA – Empat wakil rakyat DAP, termasuk seorang ahli Parlimen veteran, mengumumkan keluar parti hari ini kerana sudah hilang kepercayaan kepada puncuk kepimpinan parti.

Keempat-empat mereka Ahli Parlimen Kota Melaka, Sim Tong Him; Adun Duyong, Goh Leong San; Adun Bachang, Lim Jak Wong dan Adun Kesidang, Chin Choong Seong.

Menurut Tong Him, keputusan yang dibuat mereka adalah wajar dan telah mengambil kira beberapa perkembangan semasa dalam parti yang difikirkan tidak lagi selari dengan matlamat penubuhan parti.

“Setelah mengambil kira kesemua ini, kami merasa kecewa dengan kepimpinan parti sekaligus hilang kepercayaan pada kepimpinan parti,” katanya kepada Sinar Harian di sini.

Bagaimanapun, menurut Tong Him, beliau dan rakan-rakannya sepakat tidak akan menyertai mana-mana parti politik, termasuk BN, tetapi sebaliknya akan menghabiskan tempoh sebagai wakil rakyat sebagai calon Bebas.

“Saya masih ada tanggungjawab terhadap pengundi saya dan ini akan saya laksanakan sehingga tamat penggal ini. Untuk PRU 14 pula, saya masih belum buat sebarang keputusan. Ia akan saya buat apabila tiba masanya nanti,” katanya.

– Sinar Harian

.