ELAK PINJAM ‘AH LONG’, KAD KREDIT JADI PILIHAN

TIDAK mampu menampung keperluan asas keluarga dengan gaji setiap bulan, semakin ramai rakyat Malaysia menambah hutang kad kredit mereka sebagai jalan terakhir sebelum mengambil keputusan meminjam daripada lintah darat dan ceti wang.

Kementerian Kewangan baru-baru ini melaporkan, daripada jumlah keseluruhan 3.6 juta pengguna kad kredit sehingga Jun lalu, sejumlah RM2.7 bilion adalah bayaran tertunggak.

Menurut laporan New Straits Times, 845 orang berumur 30 tahun dan ke atas diisytiharkan bankrap kerana gagal melangsaikan hutang kad kredit.

Ketua Penganalisis Ekonomi Ambank Research, Anthony Dass berkata, walaupun kes muflis kecil berbanding dengan jumlah pengguna keseluruhan kad kredit, masih ramai yang tidak dapat mengawal corak perbelanjaan mereka.

“Kadang-kala ia bergantung kepada cara hidup. Mereka suka berbelanja lebih. Mungkin mereka beli baju yang mahal dan lain-lain walaupun tahu kemampuan sebenar,” katanya.

Bagaimanapun, bagi kebanyakan mereka yang mempunyai hutang tertunggak, tindakan terpaksa menggunakan kad kredit bukanlah satu kemewahan atau pilihan, tetapi jalan terakhir.

“Saya terpaksa menggunakan kad kredit saya untuk menampung kos perjalanan tugasan luar kerja, dan juga untuk membayar hal kecemasan yang tidak mampu ditampung gaji saya,” kata Shahfizul Hadie, 31, yang bekerja sebagai pembantu jurutera.

“Kadang-kadang kereta kita rosak, saya gunakan untuk baiki kereta. Untuk pastikan baki tertunggak tidak banyak, saya kena kerja lebih masa sampai saya cuti sehari saja seminggu,” katanya.
Shahfizul, yang bekerja di Shah Alam, mempunyai baki kad kredit tertunggak sebanyak RM3,000 dengan bayaran minimum bulanan sebanyak RM250.

“Anak-anak saya masih kecil dan isteri saya bekerja secara sambilan. Gajinya tidak banyak,” katanya.

Nur Azwani Mohd Kamal, 30, pula seperti mengeluh apabila bercerita sudah lama tidak berkesempatan pergi bercuti ke tempat-tempat istimewa dengan suami dan anak-anak, seperti rakan-rakannya yang selalu dilihat berkongsi cerita dan foto percutian mereka di Facebook atau Instagram.

845 individu bawah umur 30 tahun diisytiharkan muflis kerana hutang kad kredit. – Gambar fail The Malaysian Insight, 28 Ogos, 2017.
845 individu bawah umur 30 tahun diisytiharkan muflis kerana hutang kad kredit. – Gambar fail The Malaysian Insight, 28 Ogos, 2017.

Bukan sebab tiada cuti atau kesuntukan masa tetapi gaji setiap bulan hanya cukup makan sahaja.

Dengan pendapatan isi rumah lebih kurang RM8,000 sebulan, ibu dua anak ini mengaku terpaksa berhutang dengan kad kredit.

“Duit kami anak beranak memang cukup-cukup. Itu pun saya sudah berjimat bawa bekal makanan ke pejabat. Kami tidak dapat menyimpan duit. Macam mana hendak menyimpan, belanja pun pakai kad kredit,” katanya.

Pengurus operasi di sebuah syarikat swasta di Petaling Jaya itu turut berkongsi senarai perbelanjaan tetap bulanan isi rumahnya yang lain: pengasuh untuk dua anak RM900, belanja dapur RM500, duit belanja untuk ibu bapa di kampung RM200 dan minyak kereta RM500.

Suaminya membayar pinjaman perumahan, bil air dan elektrik serta pinjaman peribadi RM80,000 yang mereka ambil ketika hendak melangsungkan perkahwinan dan bagi membayar deposit membeli rumah.

“Saya dan suami pun dah lama tidak keluar tengok wayang. Kalau nak bercuti mungkinlah sekali dalam setahun, itu pun kalau ada bonus,” tambahnya yang berkahwin sejak tiga tahun lalu dan dikurniakan dua anak.

Fairuz Karmila pula kini membayar jumlah minimum RM1,400 untuk dua akaun dengan had kredit berjumlah RM14,000.

Dia yang sudah berkahwin mengaku berhutang untuk melancong semasa bujang dan membeli barang kelengkapan rumah termasuk perabot.

“Saya mengaku selera kita besar; beli mesin basuh mahal. Tetapi sejak ada anak, hutang meningkat sebab saya beli barang anak. Barangan bayi memang mahal,” katanya yang mempunyai pendapatan isi rumah RM6,000 bersama suami.

Menetap di Puchong dan bekerja di Bangsar, Fairuz menggunakan pengangkutan awam termasuk Uber dan Grab yang menelan kos di antara RM600 hingga RM800 sebulan.

“Saya tidak boleh pergi kerja naik kereta kerana naik kereta kosnya lebih tinggi. Bayaran letak kereta sahaja sudah RM25,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Shafizul juga merasakan berbelanja dengan kredit kad lebih selamat berbanding meminjam daripada “ah long” sekiranya terdesak.

“Saya ada sejarah melihat sendiri abang saudara saya yang meminjam daripada ‘ah long’. Apabila dia tidak dapat bayar sebab bunga yang terlampau tinggi, dia diugut. Masalah lain pula jadi,” katanya.

– https://www.themalaysianinsight.com

.