EKSTREMISME AGAMA HANYA HELAH PANCING UNDI

KETAKSUBAN terhadap agama yang semakin meningkat hanya satu rancangan politik untuk menjadikan umat Islam rasa terancam dan bagi memancing undi mereka pada pilihan raya umum akan datang, kata tiga bekas ahli Majlis Konsultasi Perpaduan Negara (MKPN).

Mereka menyalahkan ahli politik dan pemimpin Islam yang selalu mencari cara untuk membangkitkan dan mempromosikan perbezaan dalam masyarakat Malaysia, berbanding dengan apa persamaan yang ada pada rakyat.

Ketua Setiausaha Pakatan Harapan Saifuddin Abdullah berkata sebahagian besar isu itu ditimbulkan oleh orang Islam sendiri. – Gambar fail The Malaysian Insight, 28 September, 2017.
Ketua Setiausaha Pakatan Harapan Saifuddin Abdullah berkata sebahagian besar isu itu ditimbulkan oleh orang Islam sendiri. – Gambar fail The Malaysian Insight, 28 September, 2017.

Mereka – Saifuddin Abdullah, Marina Mahathir dan Dr Mujahid Yusof Rawa – antara 30 ahli MKPN yang dilancarkan Perdana Menteri Najib Razak pada 2013 untuk menangani isu seperti polarisasi kaum dan agama, perpecahan dan diskriminasi sebagai usaha mencapai perpaduan negara.

Ketakutan mendorong umat Islam ke arah eksklusif

Saifuddin berkata umat Islam ditakutkan oleh pentadbiran kerajaan Barisan Nasional (BN) supaya rakyat rasa tidak selamat dan curiga dengan mereka yang berbeza kaum dan fahaman.

“Sindrom ketakutan digunakan oleh BN supaya umat Islam rasa mereka hanya selamat kalau BN terus menjadi pemerintah.

“Lebih malang lagi, sebahagian besar isu ini ditimbulkan orang Islam. Ini boleh membawa tanggapan seolah-olah Islam itu bersifat eksklusif atau orang bukan Islam adalah rakyat kelas yang berlainan dengan orang Islam,” katanya yang juga menjadi ahli Umno ketika dilantik dalam MKPN pada 2013. Beliau keluar Umno pada 2015.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas insiden terbaru membabitkan dobiyang dibuka hanya untuk umat Islam di Johor, larangan memakai seluar pendek di tempat umum di Kelantan dan laporan polis dibuat terhadap satu video lama yang mendakwa Kristian akan mengambil alih di dalam negara.

Kedai dobi di Muar, Johor beroperasi seperti biasa tanpa notis hanya orang Islam dibenarkan menggunakan mesin basuh di situ, semalam. – Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 28 September, 2017.
Kedai dobi di Muar, Johor beroperasi seperti biasa tanpa notis hanya orang Islam dibenarkan menggunakan mesin basuh di situ, semalam. – Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 28 September, 2017.

Insiden terbaru ialah seorang pemilik kedai dobi di Muar, Johor meletakkan papan tanda di luar premisnya, “untuk Muslim saja”, satu tindakan yang menyebabkan istana Johor turut marah.

Saifuddin berkata dobi untuk Muslim saja itu menjadi simptom kepada “masalah lebih besar”, seperti kes sebuah sekolah di Hulu Langat yang mengasingkan cawan untuk pelajar Muslim dan bukan Muslim, baru-baru ini.

“Budaya ketakutan diserap sehingga orang Islam berasa tidak selamat, lalu melakukan perkara tertentu untuk menyelamatkan dirinya,” kata Saifuddin yang kini ketua setiausaha Pakatan Harapan.

Politik menyebabkan rakyat berpecah

Sementara itu, Marina berkata politik yang berpecah akan mendorong kepada jurang lebih besar antara rakyat Malaysia yang berbilang kaum.

“Kepimpinan kita sama ada ahli politik atau ulama sentiasa mencari dan mempromosikan kelainan dan bukan kesamaan antara kita, khususnya yang bukan Islam itu bukan saja lain daripada orang Islam tetapi juga inferior,” kata anak kepada pengerusi Bersatu Dr Mahathir Mohamad itu.

Aktivis sosial itu juga mengecam pemimpin dalam negara kerana membisu dalam isu dobi untuk umat Islam saja.

Marina berkata jika dibiarkan, isu itu boleh membawa kepada diskriminasi secara sistematik di dalam negara ini.

“Saya rasa memang bagus teguran Sultan Johor tapi sayang sekali pemimpin politik kita tidak berani hendak menegur walaupun jelas ini bukan perkara yang membawa ke arah 1Malaysia, malah kemungkinan membawa kita ke arah Apartheid, “ katanya merujuk kepada pengasingan bangsa dan sistem diskriminasi di Afrika Selatan antara 1948 dan 1991.

Mujahid, yang juga ahli PAS ketika berada dalam MKPN menyentuh mengenai insiden di Pulau Pinang di laporan polis dibuat oleh beberapa kumpulan NGO Melayu yang mendakwa wujud konspirasi dan agenda Kristian.

“Dakwaan itu dimainkan berulang kali, menyebabkan umat Islam risau dan takut sehingga ada yang rasa terancam.

“Tindakan seperti itu menyebabkan perpecahan antara orang Islam dan bukan Islam selama beberapa tahun kini,” katanya yang kini naib presiden Amanah.

Naib Presiden Amanah Dr Mujahid Yusof Rawa berkata sekarang ini, setiap isu bukan Islam disimpulkan sebagai sesuatu yang menghina Islam. – Gambar fail The Malaysian Insight, 28 September, 2017.
Naib Presiden Amanah Dr Mujahid Yusof Rawa berkata sekarang ini, setiap isu bukan Islam disimpulkan sebagai sesuatu yang menghina Islam. – Gambar fail The Malaysian Insight, 28 September, 2017.

Mujahid berkata tuduhan terhadap Kristian tidak disokong dengan bukti, dengan kumpulan NGO itu hanya mengambil petikan daripada video berkenaan dan mendakwa wujud agenda Kristian dalam negara yang majoritinya beragama Islam.

Katanya, kumpulan NGO Melayu itu juga mengheret pemimpin DAP ke dalam laporan polis mereka.

Mujahid berkata semua isu itu, termasuk kes lelaki yang memakai seluar pendek di tempat awam di Kelantan, berunsurkan politik.

Helah politik untuk raih undi

“Pilihan raya umum semakin dekat. Mereka juga sedang mendapatkan undi umat Islam.

“Ini sangat bahaya, menggunakan agama untuk kepentingan politik. Pada masa sama, mereka mungkin mencetuskan prejudis dan kebencian kaum dan agama,” kata ahli Parlimen Parit Buntar itu.

Mujahid berkata dengan kekecohan kes dobi itu ia sepatutnya tidak menjadi isu langsung kerana Islam tidak pernah ada perintah yang umat Islam dan bukan Islam tidak boleh berkongsi mesin basuh.

Katanya, sesetengah pihak menggunakan Islam untuk melakukan perkara yang tidak diajar dalam agama itu.

“Ramai ulama ketawakan perkara ini. Ia seperti isu asingkan cawan untuk pelajar Islam dan bukan Islam,” katanya.

Beliau juga memetik isu Festival Better Beer, yang dibatalkan selepas Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) enggan memberikan permit kepada penganjur untuk mengadakan pesta itu awal bulan depan.

PAS membantah penganjuran acara itu, mendakwa ia akan menjadikan Malaysia sebagai pusat maksiat Asia. Ramai pengguna media membantah acara itu dan berkata ia tidak sepatutnya dibenarkan di negara Islam.

“Sekarang ini, setiap isu bukan Islam disimpulkan sebagai sesuatu yang menghina Islam. Pihak tertentu mengkritik dan mempertikaikan moral bukan Islam, dengan semuanya mendakwa ia dibuat atas nama Islam.

“Jangan cuba hendak buktikan anda lebih Islamik daripada orang lain. Anda hanya mencetuskan ketegangan antara Islam dan bukan Islam, dan dalam kalangan umat Islam sendiri,” katanya.

Mujahid juga melihat tindakan terhadap lelaki Islam yang memakai seluar pendek di tempat awam di Kelantan sebagai “melampau”.

Saifuddin, Marina dan Mujahid turut terbabit ketika MKPN merangka rang undang-undang (RUU) Jenayah Kebencian Kaum dan Agama berkaitan ucapan kebencian; RUU Perdamaian untuk mengharamkan diskriminasi; dan RUU Keharmonian Nasional dan Suruhanjaya Perdamaian, pada 2014.

Majlis itu dibubarkan pada pertengahan 2016.

– https://www.themalaysianinsight.com

.