Editor Sarawak Report ketawa dituduh dibiaya 2 kad kredit

Pengarang Sarawak Report Claire Rewcastle-Brown sekadar ketawa apabila diminta mengulas dakwaan portal itu dibiayai dana yang besar.

“Oh, saya ada dua kad kredit prabayar? Di manakah ia?” katanya sambil ketawa.

Menurut Claire pihak yang membuat tuduhan berkenaan mesti menunjukkan bukti berkaitan dan dalam dunia Internet sekarang, katanya, tidak sukar untuk menggerakkan kewartawanan penyiasatan.

“Saya boleh melayari Internet untuk mendapat banyak maklumat. Saya boleh berhubung seseorang dan boleh menulis (kepada mereka). Ia tidak begitu sukar,” katanya ketika ditemui di Persidangan Kewartawanan Penyiasatan di Nepal pada Khamis lalu.

Pada Mac lalu sebuah portal baru dikenali sebagai Open Source Investigations (OSI) mendakwa 80 peratus daripada perbelanjaan Claire datang daripada dua kad kredit prabayar yang membolehkan dia membuat perjalanan ke sana sini dengan mewah.

“Sumber membiayai (Claire) mempunyai banyak wang. Claire sendiri mengakui untuk mengelolakan laman sesawang (Sarawak Report) memerlukan kos kira-kira $15,000 sebulan,” lapor OSI.

Bukan macam Najib

Portal berkenaan juga mendakwa Claire banyak membuat perjalanan ke serata tempat di Eropah, Asia dan Australia pada 2014 dan 2015.

Kata Claire pihak yang membuat tuduhan ke atasnya perlu lebih spesifik.

Katanya sebahagian besar perjalanan yang dibuatnya sebelum ini dibiayai oleh projek radionya yang mendapat dana daripada penderma berpangkalan di Eropah.

Pihak itu katanya berminat dengan isu perhutanan serta hak asasi manusia.

“Perjalanan saya ke sini (Nepal) dibayar pihak yang menjemput saya,” katanya yang diundang bagi menyampaikan syarahan mengenai siasatan kes rasuah.

Claire juga menegaskan bersedia mendedahkan sumbar dana serta perbelanjaan untukSarawak Report.

“Yeah, bukan macam (Perdana Menteri Datuk Seri) Najib (Razak). Saya ada sebuah syarikat, saya ada beberapa akaun. Anda boleh ke Companies House (pendaftar syarikat British), tengoklah di situ.

“Dan sejujurnya anda boleh bertanya kepada suami saya kerana dia mengeluh kerana saya boleh keluar bekerja dan mendapat wang.

“Maksud saya, entah bagaimana saya mengendalikan operasi bernilai jutaan dolar tetapi sebenarnya ia agak murah,” katanya. – M’kini

.