DYANA: KAMI BIJAK TAK SOKONG KETUA PEROMPAK 1MDB, MARA

Anggota Eksekutif DAP Perak, Dyana Sofia Mohd Daud menempelak kenyataan Ketua Penerangan Umno Tan Sri Annuar Musa yang mendakwa DAP mempergunakan wanita muda Melayu seperti dirinya semata-mata untuk publisiti sedangkan mereka tidak mempunyai kelayakan.

Sambil melabelkan Annuar sebagai ‘cif pencacai’ kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, katanya, wanita muda dalam DAP sebenarnya cukup bijak untuk tidak menyokong mahupun membela kleptokrat, ketua penyamun dan ketua perompak 1MDB mahupun MARA.

“Annuar Musa yang sering menuduh parti lain memainkan isu ras, patut melihat ke dalam cermin.

“DAP sudah lama mempunyai wanita muda cuma Umno yang tidak tahu,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Dyana Sofia seterus memberi contoh kejayaan wanita muda dalam DAP, termasuk ADUN termuda di negara iaitu Liow Cai Tung yang memegang jawatan pada usia 27 tahun dan Hannah Yeoh yang dilantik sebagai speaker wanita pertama negara pada umur 34 tahun.

“(Semua ini) sesuatu yang Umno tidak dapat lakukan walaupun memegang tampuk kuasa selama 60 tahun.

“Umno masih lagi tersangkut di dalam politik ras kerana tidak nampak akan pencapaian wanita-wanita muda ini hanya kerana mereka bukan Melayu,” katanya.

Dyana Sofia juga menyelar Annuar yang menuduhnya tidak mempunyai kelayakan berbanding calon-calon wanita yang diketengahkan oleh Umno.

“Annuar Musa mungkin merasakan pengalaman saya selama lima tahun dalam politik, dan kelayakan saya dengan ijazah Sarjana dari School of Oriental and African Studies, University of London dan ijazah Sarjana Muda Undang-undang dari UiTM, sebagai tidak cukup layak dan cukup pandai di mata beliau,” kata bekas calon Parlimen Teluk Intan itu dalam satu kenyataan.

Secara sinis, katanya, ahli DAP mungkin tidak cukup bijak sehingga mampu memecahkan berbotol-botol bir di pejabat SUK Selangor di Shah Alam minggu ini seperti pemimpin Umno.

Walaupun tidak menyebut nama, adalah jelas Dyana Sofia merujuk tindakan Ketua Umno Bahagian Sungai Besar Datuk Seri Jamal Md Yunos yang pada 5 Oktober lalu, memecahkan beberapa peti minuman keras sebagai membantah sebarang penganjuran pesta arak di Selangor.

Annuar pada program ‘Bicara Minda dan Sesi Dialog : Perjuangan For All’ malam semalam juga mendakwa, DAP akan terus berkuasa dan memperkudakan sesiapa sahaja termasuk bekas pemimpin Umno mahupun rakan dalam kem pembangkang demi survival politik dan kuasa.

Beliau juga berkata pemimpin veteran DAP, Lim Kit Siang berupaya menjinak dan menumbangkan Tun Dr Mahathir Mohamad dengan kata-kata manis.

“Saya terkejut seorang pemimpin Umno meletakkan Ketua Parlimen DAP Lim Kit Siang pada darjat yang begitu tinggi sekali, sehingga mampu memperkudakan Dr Mahathir, mantan presiden Umno selama 22 tahun.

“Sekiranya benar Lim lebih hebat dari perdana menteri paling lama dalam sejarah Malaysia seperti dikatakan beliau, maknanya beliau lebih layak mentadbir kerajaan Malaysia berbanding pemimpin Umno yang ada sekarang ini,” kata Dyana Sofia.

Beliau juga membidas Annuar yang selaku ketua penerangan Umno tetapi masih tidak faham bahawa DAP merupakan parti yang bertanding kerusi paling sedikit berbanding dengan parti lain dan tidak mungkin ia menjadi parti paling dominan.

“Kenyataan Annuar lebih menunjukkan situasi politik BN di mana Umno yang memperkudakan parti komponen BN yang lain demi survival politik mereka,” katanya.

– M’kini

.