DUTA BESAR KOREA UTARA TINGGALKAN MALAYSIA

SHAH ALAM – Selepas tempoh 48 jam diberikan kepada Duta Besar Korea Utara, Kang Chol, akhirnya dia dilihat meninggalkan bangunan kedutaan itu sekitar jam 3.50 petang tadi dengan diiringi anggota polis.

Memetik laporan The Star, Kang Chol yang diisytiharkan sebagai ‘Pesona Non Grata ‘ itu menaiki kenderaan bersama seorang wanita yang tidak dikenali dipercayai menuju ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).
Kang Chol dijangka menaiki pesawat menuju Beijing, China pada 6:40 petang ini.
Sekumpulan wartawan yang menunggu di hadapan bangunan kedutaan cuba menghampiri, namun kenderaan yang dinaiki Kang Chol memecut saat didekati kumpulan ini.

Kang Chol telah diusir oleh kerajaan Malaysia apabila gagal menghadirkan diri pada Sabtu lalu di Wisma Putra.

Kang Chol dipanggil untuk diminta memberi keterangan berhubung kenyataannya yang mengkritik Malaysia serta menuduh Malaysia bersekongkol dengan musuh-musuh Korea Utara dalam mengendalikan kes pembunuhan warga Korea Utara, Kim Jong-nam pada 13 Februari lalu.

Malaysia telah menarik semula status visa percuma untuk warga Korea Utara yang mahu melancong ke sini.

Hubungan diplomatik antara Malaysia dan Korea Utara juga semakin parah sejak kes Jong-nam.

– SH

.